‘Saya pensyarah, bukan ‘operator hotline’ percintaan jam 12 malam’

PENYANYI nasyid Fitri Haris membuat pendedahan mengejutkan apabila mendakwa pernah digoda kaum sejenis yang bergelar ustaz dan golongan kenamaan.

Menerusi hantaran dalam Instagram, anggota kumpulan UNIC itu berkongsi pengalamannya didekati golongan songsang susulan tular berita tentang serbuan di sebuah spa di ibu kota baru-baru ini.

Saya pernah kena ngorat dengan ustaz dan Datuk. Jadi bila polis tangkap golongan profesional, berpangkat dan berjawatan ini, memang tak pelik langsung.

“Saya terus teringat dua pengalaman pelik dalam hidup saya yang sampai hari ini kalau ingat pun saya gelak sambil marah.

“Pertama pengalaman dengan seorang ustaz. Dia tanya saya ‘open minded’ tak. Lepas tu hantar gambar *** dia kepada saya. Saya terkejut macam baru kena siram air sejuk. Dari situ saya dah rasa lain macam. Rupanya bukan semua ustaz datang dengan fitrah lurus,” kongsinya.

Bercerita lanjut tentang pengalaman ngerinya, Fitri atau nama lengkapnya Mohamad Fitri Mohamad Haris, 41, juga tidak terlepas diganggu lelaki berpangkat Datuk yang menghantar mesej manja setiap hari.

Yang ini lagi hebat. Setiap hari mesej manja. Lepas tu perlahan-lahan naik ‘level’ jadi mesej pelik-pelik, lucah. Emoji pun sampai saya sendiri tak pernah guna.

“Saya hanya mampu fikir Datuk tolonglah saya ni pensyarah bukan ‘operator hotline’ percintaan jam 12 malam. Akhirnya saya sekat terus tanpa fikir panjang. Sampai sekarang tak menyesal,” tulisnya.

Tambahnya lagi, dia berasa benci dengan golongan songsang yang salah anggap dengannya.

Saya benci gila puak macam ni. Benci sebab berlaku depan mata saya dalam bentuk gangguan peribadi. Dan paling saya benci, bila orang salah anggap diam itu tanda suka. Padahal diam saya sebab cuba jaga adab.

“Kalau ada lagi yang cuba tanya saya ‘open minded’ tak? Saya akan terus jawab saya ‘open minded’ dalam ilmu, bukan dalam benda luar tabie.

“Harap serbuan macam ni buka mata semua orang. Benda salah tetap salah walaupun pakai tuala mahal, ” tulisnya.

Terdahulu, Sabtu lalu Kosmo! melaporkan kegiatan sebuah spa dan kesihatan di Chow Kit, Kuala Lumpur disyaki menjadi tempat lelaki songsang berkumpul terbongkar selepas serbuan Bahagian D7 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).

Seramai 201 individu ditahan termasuk tujuh pekerja premis dengan 24 daripadanya warga asing.

Lebih mengejutkan, seramai 17 penjawat awam turut ditahan dalam serbuan berkenaan melibatkan pelbagai jawatan termasuk doktor pakar, guru, Timbalan Pendakwa Raya, Pegawai Takbir Diplomatik serta pegawai agensi penguatkuasaan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok