‘Kehendak penulis skrip’ – Joey nafi normalisasi lawak ‘double meaning’

PELAWAK Joey Daud menafikan dakwaan sebilangan pihak yang mengatakan dirinya menormalisasikan penggunaan lawak ‘double meaning’ dalam filem terbaharu, Klepet. 

Sebaliknya, Joey atau nama sebenarnya Zulkifli Daud, 52, menegaskan penggunaan bahasa berlapik hanya mahu menunjukkan realiti sebenar sering digunakan dalam kehidupan seharian.

“Kami bukan mahu menormalisasikan tetapi hanya menjayakan karakter dan kehendak penulis skrip. Sebelum kita keluarkan dialog-dialog ini, kita kena bincang dulu dengan pihak produksi. Kalau okey baru kami (pelakon) buat.

“Saya anggap perkara ini normal. Kalau kita dengan kawan-kawan pasti akan keluar bahasa lagi teruk.

“Dialog yang digunakan dalam filem ini ingin menunjukkan keakraban sebagai sahabat, maka akan keluar bahasa-bahasa begitu,” katanya kepada HibGlam pada majlis tayangan filem Klepet baru-baru ini.

Pada masa sama, Joey meminta orang ramai memahami mesej keseluruhan yang ingin disampaikan dalam lawak berlapik atau ‘double meaning’.

“Setiap orang akan ‘sarung’ karakter berbeza. Kalau tidak semuanya akan sama, dah namanya pun berlakon.

“Kalau nak cakap fasal bahasa lucah, di luar sana lebih teruk. Kalau baru buat sikit macam ini dah kena serang, macam mana filem kita nak maju. Saya harap penonton tonton filem ini secara keseluruhan sebelum menilai.

“Filem ini sangat luas tetapi kalau boleh janganlah pandang perkara itu saja (lawak double meaning). Contoh saya peniaga pisang, saya letak papan tanda bertulis ‘jangan sentuh pisang saya’. Maksudnya apa? Jangan rosakkan pisang saya sedang berniaga kan.

“Perkara itu boleh jadi dua makna (double meaning), jadi fokus saja pada keseluruhan cerita apa yang ingin kami sampaikan,” ujarnya.

Selain itu, dia turut menyarankan orang dewasa memantau anak-anak semasa menonton filem Klepet.

“Kena ada orang dewasa untuk menerangkan apa maksud sebenar dialog-dialog. Jangan tengok kosong sahaja.

“Saya cakap sebab saya pun ada anak. Bila ada babak-babak begini saya akan terangkan kepada anak-anak supaya mereka jelas. Kena faham,” jelasnya lagi.

Selain Joey, Klepet turut dibintangi barisan pelakon popular termasuk Aedy Ashraf, Nadhir Nasar, Meerqeen Aeril Zafrel, dan Eric Fuzi.

Filem Klepet bakal ditayangkan di seluruh pawagam bermula 27 November ini. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok