PENYANYI Zizi Kirana menasihatkan pempengaruh yang juga peserta Global Sumud Flotilla (GSF), Haroqs mengabaikan kecaman netizen dalam media sosial terutama mengenai rupa parasnya.
Menurut Zizi atau nama penuhnya Nur Fazelah Mad Tahil, 40, Haroqs hanya perlu menjalani kehidupan seperti biasa dan tidak seharusnya terkesan dengan segala kata-kata negatif dilemparkan netizen selepas tular video mengenai kriteria isteri idamannya.
“Saya beritahu dia jangan dengar cakap netizen dan nasihatkan lakukan apa sahaja yang diingini. Dia tahu apa fokus yang mahu dicapai.
Tentang kenyataan yang dia berikan (kriteria isteri idaman) itu, saya minta dia buat tak tahu sahaja.
“‘Langau-langau’ itu sentiasa ada di mana-mana. Buat tak tahu sahaja,” katanya kepada HibGlam selepas pertunjukan fesyen koleksi terbaharu Hatta Dolmat sempena Fashionably Modest Asia 2025, semalam.
Zizi berkata, kriteria isteri idaman Haroqs atau nama penuhnya Muhammad Hareez tidak seharusnya menjadi bahan kecaman sebaliknya perkara tersebut perlu dihormati semua pihak.
“Dia tak mengadu tapi dia macam mempersoal mengapa orang tak boleh terima pendapatnya.
Setiap orang mempunyai pendapat sendiri dan begitu juga cita rasa. Mungkin dia rasa cantik atau kacak tetapi orang lain tidak.
“Jadi, saya rasa cita rasa atau kriteria seseorang tak perlu pun nak dipertikaikan. Biarkan, tak ganggu hidup kalian pun, relaks sahaja,” jelasnya.
Dalam perkembangan lain, Zizi mengakui tersenarai sebagai salah seorang ikon bagi koleksi The Quiet Power rekaan Hatta dan turut beraksi di pentas pada acara Fashionably Modest Asia.
Ini kali pertama saya ‘catwalk’ macam model, kaki saya seperti tidak jejak tanah, gemuruh!
“Ini juga kali pertama memakai busana Hatta dan menyambut baik usahanya memilih serta meraikan golongan wanita daripada pelbagai latar belakang termasuk bidang sukan sebagai ikonnya,” tuturnya.
Terdahulu, nama Haroqs menjadi bualan ramai mutakhir ini selepas tular satu video temu bualnya yang berkongsi tentang ciri-ciri isteri idamannya.
Dia mula meraih kecaman termasuk kritikan terhadap rupa parasnya apabila menyuarakan hasrat untuk memiliki isteri yang cantik dan memahami dirinya.
Saya nak wanita yang cantik sebab kita nak tengok hari-hari. Bagi saya kecantikan tu sangatlah penting.
“Saya nak seorang yang pandai memasak, memahami, suka bercerita, menyeronokkan, tahu tentang agama dan menghormati orang tua,” ujarnya.
Haroqs bagaimanapun menegaskan tidak mencari seorang wanita yang sempurna sebaliknya mengutamakan sikap saling memahami dan menghormati. – HIBGLAM
