Padam gambar Meerqeen, Anna Jobling beri bayangan hubungan berakhir?

MESKI  tidak pernah mengiyakan gosip cinta, tindakan aktres Anna Jobling memadam semua gambar pelakon yang dikatakan akrab dengannya, Meerqeen di Instagram mencetuskan tanda tanya ramai.

Bukan itu sahaja, beberapa hantaran lama membabitkan bahan promosi drama gandingan mereka, Melur Untuk Firdaus juga sudah tiada di laman sosial gadis berdarah kacukan Melayu-Inggeris terbabit.

Kebiasaan yang dilakukan pasangan bercinta sama ada ketika merajuk atau putus itu membuatkan netizen yakin ada hubungan istimewa antara Anna dan Meerqeen.

Apatah lagi sejak petang semalam pemilik nama lengkap Anna Ellisa Gustin Jobling Abdul Rahman itu memuat naik dua hantaran di pelantar X yang seakan-akan memberi bayangan terhadap situasi terkini.

Wait What?” tulisnya ringkas seolah-olah menunjukkan rasa terkejut sebaik mendengar satu perkhabaran.

Belum terlerai lagi kemusykilan peminat yang bertubi-tubi meminta pencerahan, hampir dua jam selepas itu muncul lagi satu ciapan baharu.

Puzzle completed’, demikian ciapan yang membawa maksud teka-teki sudah lengkap dan terjawab segalanya.

Tangkap layar hantaran Anna di pelantar X miliknya . 

Berikutan itu, segelintir pihak percaya hubungan Anna dan Merqeen sudah berakhir bahkan ada yang mendakwa ciapan Anna ada kaitan dengan gosip liar membabitkan nama aktor terbabit dengan seorang pelakon jelita, baru-baru ini.

Begitupun, sebelum ini Anna menegaskan mereka akrab secara profesional atas dasar kerja dan dilihat mesra sebagai pasangan berikutan keserasian ditunjukkan dalam drama Melur Untuk Firdaus.

Pada masa sama, dalam ruangan komen rata-rata netizen berharap  Aktres TV Popular itu dapat menemui kebahagiaan dicari.

“Anda berhak mendapat kebahagiaan dalam dunia ini,” kata seorang peminat.

Sementara itu, dalam Instagram Meerqeen masih ada lagi foto promosi drama lakonan mereka selain aktor tersebut masih mengikuti Anna di laman sosial. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok