‘Saya melalui fasa gelap, syukur masih waras’

NAMA terpalit kontroversi panas sehingga menjadi cemuhan umum, pelakon juga penyanyi Aliff Aziz tetap bersyukur mendepani gelapnya sejuring terowong hayat yang harus dijalani.

Hampir terduduk gara-gara kekhilafan sendiri, lelaki berstatus bapa tunggal itu tetap bersangka baik selain percaya setiap perkara adalah aturan Ilahi serta mempunyai hikmah tersendiri.

Bagi pemilik nama lengkap Mohammad Aliff Aziz itu, peristiwa lalu kini mahu disimpan kemas menjadi lipatan sejarah dan buku baharu harus dicatat semula.

“Syukur, saya menjalani hidup dengan baik. Apa sahaja lalui, adakalanya kita berasakan seperti sudah tiada jalan keluar. Dunia rasa gelap dan kita sering bertanya kepada Allah kerana sesuatu perkara itu terjadi kepada kita.

Namun saya yakin, sesiapa sahaja akan melalui dugaan, tiada bumi yang hujan selamanya. Walaupun bertahun hujan lebat, tapi insya-Allah awan hitam akan berlalu.

“Begitulah roda kehidupan. Mungkin inilah masa untuk saya bersangka baik agar kehidupan lebih cerah pada masa hadapan,” katanya ketika ditemui pada majlis pengumuman Havoc Trio Festival 2025, baru-baru ini.

Menyorot kisah lama, sekitar pertengahan tahun lalu penyanyi asal Singapura itu berdepan kontroversi rumah tangga dengan bekas isteri juga penyanyi dan pelakon, Bella Astillah.

Lebih menggemparkan, Aliff terheret kes khalwat dengan aktres Ruhainies.

Akui Aliff lagi, hanya semangat serta kesedaran dengan kembali kepada Allah sahaja mampu membuatkan seseorang bangkit dari fasa kelam.

“Kehidupan ini penuh warna. Semua orang akan diuji sama ada dengan kelakuan sendiri atau sikap mendatang. Itu perkara yang saya pegang. Adakah ujian buat kita putus asa?

Saya pernah lalui fasa itu dahulu. Sangat gelap, saya hilang pertimbangan diri dan lakukan hal bukan-bukan. Alhamdulillah, saya masih di sini, sihat dan waras. Apa yang saya pelajari adalah hidup harus diteruskan.

“Setiap perkara yang terjadi, kita perlu berbalik kepada Allah. Jika kita tak melihat hikmahnya, hidup kita akan berkecamuk, jadi lagi teruk,” ujarnya.

Enggan situasi terus mengganggu mental dan emosi, penyanyi Sayang Sayang lebih selesa tidak melayan komen negatif dalam media sosial .

Saya tak baca apa yang diperkatakan netizen. Memang ramai orang bagi respons, ada mendoakan yang terbaik dan sebaliknya. Saya tak rasa terkesan pun.

“Kalau saya ‘termakan’ kata-kata kurang elok, saya yang tertekan. Kiranya lebih baik fikir perkara positif iaitu elakkan fokus pada komen dalam media sosial,” tutupnya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok