DIDAKWA sudah bertemu pengganti, pelakon Puteri Sarah Liyana menjelaskan gambar tangan seseorang dimuat naik dalam Instagram Story adalah rakan perniagaan yang juga pelakon Indonesia, Andi Arsyil Rahman.
Jelas pemilik nama sebenar Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin itu, foto tersebut dikongsi ketika mereka berbincang mengenai bisnes yang akan dijalankan secara kolaborasi ketika kunjungan ke Jakarta, Indonesia.
“Ketika itu saya ke Jakarta sebab ada penggambaran tapi sekarang ada masalah sikit dan ditunda, jadi pada masa sama saya ambil peluang bertemu rakan perniagaan.
“Namanya Andi Arsyil dan dia pelakon di Indonesia, selain fokus mengembangkan perniagaan yang dijalankannya.
“Kebetulan kami punya minat sama membabitkan produk penjagaan wajah dan tudung yang akan saya buka di Malaysia,” katanya ketika ditemui pada sidang media teater muzikal kanak-kanak, Pak Pandir & Labu Ajaib, hari ini.
Mengulas lanjut, ibu tunggal kepada dua anak itu berkata, persahabatan mereka mula akrab selepas beberapa kali bertemu atas urusan kerja, apatah lagi masing-masing selalu berkongsi hal perniagaan.
“Masa ke Jakarta untuk tujuan kerja, saya selalu bertemu dengan Andi malah kami semakin rapat berikutan hasrat melebarkan perniagaan di Malaysia dan Singapura.
“Bagaimanapun, kami bukan berdua-duaan sebaliknya pengurus peribadi dan anak saya turut ada sama dalam setiap perjumpaan,” katanya.
Ditanya secara mendalam mengenai status pelakon Ketika Cinta Bertasbih yang berusia 35 tahun itu, Puteri Sarah berkata, aktor berkenaan masih bujang.
“Dia memang solo dan sekarang sangat fokus mengusahakan perniagaan yang diusahakan.
“Takkan saya hendak kacau orang punya. Saya selesa dengannya sebagai rakan kerja dan kami juga menjalankan perniagaan sama,” katanya kepada HibGlam.
Terdahulu, Puteri Sarah mencuri perhatian ramai apabila memuat naik foto tangan seorang lelaki sedang memegang telefon menerusi Instagram Story, baru-baru ini.
Foto tersebut sekali gus mencetuskan tanda tanya netizen tentang individu tersebut. — HIBGLAM