‘Saya terima… Ramai orang gelar saya ratu gimik’

IMAN Troye, penyanyi yang bukan dilahirkan dari mana-mana program realiti tetapi namanya masih mewangi dalam industri seni suara tempatan.

Namun, sejak kebelakangan ini, pemilik nama lengkap Siti Nur Alyssa Sahabudin itu kerap kali dilemparkan kecaman netizen apabila dikatakan menjaja drama murahan setiap kali meluncurkan lagu baharu.

Pergaduhan olok-olok dengan beberapa individu, termasuk usahawan Datuk Aliff Syukri antara gimik yang dilakukannya sebelum ini.

Tanpa sedar, perkara tersebut mengundang rasa kurang senang dan kemarahan segelintir individu yang mengakui muak apabila selebriti itu melancarkan perang palsu dalam media sosial.

Disebabkan itu, dia juga turut digelar sebagai ratu gimik dalam media sosial.

 

Namun, bagi si kecil molek itu, segala bentuk perbalahan atau drama rekaan merupakan penambah rasa untuk alur cerita setiap lagu yang dilancarkan.

Memang ramai yang gelar saya sebagai ratu gimik. 

“Tapi saya menerimanya secara positif, hakikatnya saya cetuskan gimik bukan semata-mata untuk tarik perhatian sebaliknya memberi lebih warna dan cerita untuk lagu yang dilancarkan,” katanya kepada HibGlam.

Jelas penyanyi berusia 22 tahun itu, gimik untuk sebuah lagu juga beri peluang kepada pendengar seolah-olah berada dalam dunia berbeza.

“Saya suka kalau sesebuah karya bukan sekadar lagu, tapi ada naratif dan pengalaman yang orang boleh rasa. 

“Jadi kalau nampak macam gimik sekalipun, semua itu masih berlandaskan cerita sebenar di sebalik lagu.

“Tak mengapa kalau digelar ratu gimik atau sebagainya, asalkan orang lain sudah rasai dan faham  karya yang hendak diluncurkan,” ujarnya.

Ditanya sama ada mencipta gimik sehingga menjadi bualan ramai adalah cara untuk kekal relevan, pelantun lagu Harum Sundal Malam berkenaan tidak menafikannya, namun selagi tidak melebihi batas sepatutnya.

Jelasnya, mencipta identiti sendiri sehingga mampu melekat dalam kepala orang ramai adalah paling utama.

Saya tak nafikan bahawa industri sekarang memang sangat kompetitif, ramai bakat baru yang hebat-hebat.

“Cara saya untuk kekal relevan ialah dengan terus jadi diri sendiri dan berkembang mengikut peredaran zaman.

“Kalau boleh tak mahu kejar trend semata-mata tetapi lebih kepada faham identiti sendiri dan apa yang nak disampaikan. Konsisten, jujur dengan diri sendiri dan sentiasa belajar benda baru itu yang penting,” katanya yang mencipta nama menerusi lagu Teman.

SEDAR dirinya tidak sempurna, Iman Troye juga sentiasa mengawal tingkah laku agar tidak menambah benci khalayak. – Ihsan XO House

Meski dilihat rancak mencipta gimik, dia tetap berusaha untuk tidak terpalit daripada sebarang kontroversi yang boleh meranapkan kerjaya seni sendiri.

“Setakat ini memang fokus pada kerja dan elak daripada terlibat dengan benda yang tak perlu.

“Saya percaya kalau jaga tingkah laku dan niat, orang akan sedar juga siapa kita. 

“Saya tidaklah sempurna tapi sentiasa cuba kawal dan bawa diri dengan baik supaya tak terpalit dengan cerita tidak elok yang boleh hancurkan kerjaya sendiri,” tuturnya yang melancarkan lagu duet bersama Naim Daniel berjudul Nanti baru-baru ini.

Contoh anak muda

Mempunyai kelompok peminat yang kebanyakannya generasi muda mencipta satu tanggungjawab buat seseorang penyanyi bagi memastikan sentiasa memaparkan contoh terbaik.

Dia juga tidak terlepas daripada perkara tersebut bahkan caranya ialah melayan peminatnya seperti keluarga dan rakan terdekat.

“Saya sentiasa anggap peminat sebagai kawan dan keluarga yang sentiada menjadi tulang belakang kerana selalu ada di sepanjang tempoh perjalanan kerjaya seni saya sejak dulu.

Kalau nak cakap pasal nak bagi contoh terbaik, tugas itu berat sebenarnya.

“Apa yang saya lakukan ialah jadi diri sendiri dalam kehidupan seharian dan buat perkara yang bukan semata-mata hendak mendapat pandangan orang. Itu cara saya untuk pastikan generasi muda menjadi individu lebih positif,” katanya lagi.

Dia juga mengakui akan menapis bagi memastikan setiap konten dalam media sosial tidak memudaratkan pemikiran masyarakat terutama generasi muda yang mudah menyerap segala perkara yang dilihat.

“Kalau nak muat naik sebarang konten dalam media sosial pun, kena ‘check’ dulu beberapa kali. 

“Kena pertimbangkan sama ada konten tersebut boleh mendatangkan keburukan atau memberi kebaikan untuk semua orang.

Sedar atau tidak, mungkin ramai yang seronok melihat kehidupan kita dan sebab itu sebagai public figure, saya perlu pastikan perkara yang dilakukan boleh beri  kebaikan kepada semua orang,” ujarnya mengakhiri perbualan.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok