‘Risau isu buli di sekolah, adik saya baru 9 tahun’

PELAKON Erysha mengakui bimbang dengan peningkatan kes jenayah melibatkan remaja dan kanak-kanak apatah lagi masih mempunyai adik-beradik yang masih bersekolah ketika ini.

Menurut Erysha, 26, kerisauan tersebut boleh dibendung sekiranya generasi muda diberikan didikan dan nasihat yang baik di rumah.

“Saya risau juga sebab ada adik-adik dan paling kecil baru berusia sembilan tahun.

“Namun, saya percaya kalau beri didikan yang baik di rumah, mereka pasti boleh jaga diri sendiri di luar termasuk di sekolah,” katanya kepada HibGlam di set penggambaran drama Viu Original, Satu Dua… Dia? baru-baru ini.

Dalam pada itu, dia mengakui media sosial banyak membantu menyebarkan pelbagai isu buli atau jenayah melibatkan pelajar sekolah sekali gus mewujudkan kesedaran dalam masyarakat hari ini.

“Sebelum ini mungkin banyak juga kes buli yang berlaku di sekolah, cuma zaman sekarang lebih cepat diketahui kerana media sosial.

“Sebab itu, sekarang berita mengenai buli sangat banyak berbanding zaman dulu.

“Bagus juga apabila isu buli menjadi bahan bualan supaya semua masyarakat boleh bersuara selain dapat mengelak gejala negatif ini menjadi semakin teruk,” ujarnya.

Dia juga mengakui ada  menasihati adiknya tentang kehidupan dan cara berdepan dengan rakan-rakan di sekolah terutama sekiranya menjadi mangsa buli.

“Kadang-kadang ada juga adik saya mengadu apabila rakannya enggan berkawan dengannya.

“Namun saya ajar dan pesan kepadanya mungkin dia ada salah juga, pasti ada sebab dari kedua-dua pihak,” katanya lagi.

Dalam perkembangan lain, Erysha bakal muncul menerusi drama Viu Original, Satu Dua… Dia? arahan Datuk Yusry Abdul Halim.

Drama yang dijadualkan bakal ditayangkan pada 23 Oktober depan itu turut dibintangi Ariel Fesol, Zarif Ghazzi, Afiq Gamidon dan Rizal Rasid. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok