DIA diva generasi baharu! Predikat itu bukan kiasan kosong, tetapi hakikat yang terpateri pada susuk bernama Aina Abdul.
Dalam lautan bakat seni tanah air, auranya seumpama obor yang tak pernah padam, membakar semangat, menghidupkan jiwa muzik, malah mendidih dalam keghairahan seni.
Wanita bersuara lantang itu tidak bersandarkan semata-mata terhadap nyanyian. Dia komposer, pereka bunyi dan pelukis emosi persis kejora menari di langit malam seni tanah air.
Pun begitu, buat segelintir orang, nama anak jati Seremban itu adakala membawa konotasi berbeza. Ada yang memuja, tidak kurang mencemuh. Pernyataan ‘lagi-lagi Aina’ sentiasa lantang bergema.
Kadang-kadang rasa buntu, menyanyi rendah salah, nada tinggi pula dikata bingit,” katanya.
Bagi penulis, permata seni seperti Aina wajar diraikan. Sampai bila mahu mengangkat anak seni bermodal paras rupa semata-mata, sedangkan wujud artis yang hadir dengan ‘substance’ penghibur sejati.

SERING menjadi bahan kritikan netizen mesti terbukti bakatnya bukan cakang-calang, Aina mengakui ada ketikanya dia berasa lelah dan terkilan.
Berkali-kali diiktiraf di pentas Anugerah Juara Lagu (AJL) baik menerusi lagu, vokal mahupun persembahan, malah menggenggam trofi utama Anugerah Industri Muzik ke-24 (AIM24), semua itu sudah cukup membuktikan bahawa dia artis papan atas.
Di sebalik gemerlap cahaya dan trofi yang tersusun kemas di rak kejayaan seiring kecaman tidak berkesudahan, terdetik jua rasa letih dalam dirinya.
Lantas, desas-desus mula bertiup kencang kononnya pemilik nama sebenar Nurul Aina Abd. Ghani itu mahu mengundur diri daripada terus bertanding terutama di pentas AJL.
Undur diri daripada AJL?
Bertemu empat mata, penulis pantas mengajukan persoalan serupa. Wajahnya berubah, seketika terdiam, seolah-olah mencari butir jujur di dasar hati.
“Soalan ini susah, saya pun sebenarnya sayang sangat. Tahun ini, kalau ada rezeki ke Muzik Muzik, saya mahu pertaruhkan lagu Kamu. Ada satu bahagian dalam diri saya nak tengok potensi lagu itu ke mana.
Pertandingan ini bukan soal menang atau kalah. Tetapi benda tu jahat, benda menang kalah itu jahat dan sebab itulah kadangkala buat anak seni macam saya rasa nak berehat seketika daripada AJL.
“Kalau ditanya secara jujur, setiap tahun, saya ada keinginan itu. Cuma selalu tertanya, adakah saya benar-benar bersedia dengan rintangan dan kritikan yang pasti datang? Sebab apa saja saya buat sekarang pun, ada saja yang tidak puas hati,” katanya kepada HibGlam.

BERHABIS dalam bereksperimentasi menerusi persembahan AJL agar memberi impak meskipun dikecam teruk, Aina mengakui usahanya berbaloi demi sebuah pengaruh dan kredibiliti.
Diajukan soalan, sama ada semua usaha, termasuk pakaian mahupun persembahan ‘mega’ di pentas AJL berbaloi untuk industri muzik yang penuh toksik, pelantun lagu Puas Sudah itu mengangguk yakin.
Sangat berbaloi. Kalau bukan kerana pelaburan besar sejak awal, orang takkan kenal siapa Aina Abdul hari ini.
“Ramai kata, kenapa perlu semua itu? bukankah bakat sudah cukup? tapi mereka tak tahu perjuangan sebenar dalam industri ini.
Kita ada ramai penyanyi berbakat, malah semakin ramai pendatang baharu. Jadi bagaimana saya mahu berdiri di tengah semua itu? Setiap pelaburan, walaupun orang kata dah boleh pergi haji berkali-kali, tetap berbaloi.
“Sebab itulah seni yang saya nampak dan orang yang benar-benar menghargai seni akan faham. Mereka yang tak nampak, sebenarnya nampak, cuma mereka tak mahu mengaku,” tegasnya.
Bukan jiwa tradisional
Muncul dengan karya terbaharu berjudul Sesaat hasil ciptaan pasukan muzik Indonesia yang terdiri daripada Trakast, Fabio Asher dan Yafi Aria, lagu tersebut mendapat perhatian kerana disifatkan mempunyai kelainan.
Berani menyimpang daripada formula biasa, langkah tersebut mengundang pelbagai saranan daripada peminat, termasuk Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza yang mencadangkan Aina menghasilkan karya bernuansa tradisional pula.
Namun, bagi Bintang Paling Popular Anugerah Bintang Popular ke-36 (ABP36) itu, seni tidak boleh dijadikan eksperimen tanpa jiwa.
“Permainan genre itu luas dan subjektif. Kalau seseorang penyanyi mempunyai suara sesuai untuk irama tradisional, tidak bermakna dia perlu memaksa diri untuk menyanyikannya.
Irama tradisional bukan sesuatu yang boleh dibuat-buat. Penyanyi tradisional yang hebat semua melalui proses pembelajaran lenggok dan cengkok. Saya sangat menghargai cadangan Datuk Siti dan peminat.
“Tapi kalau saya tidak ikut permintaan itu, bukan bermaksud saya keras kepala atau tidak mendengar.
“Saya cuma mahu berhati-hati memilih karya yang benar-benar sesuai dengan diri saya dan mampu saya perjuangkan dalam jangka masa panjang,” jelasnya.
Paling penting, penyanyi berusia 31 tahun itu tidak menolak kecintaannya terhadap muzik genre tersebut tetapi belum cukup berani diterokai sehingga mengeluarkan karya.
Ilham ‘over’ AI
Sebagai komposer prolifik, pemenang anugerah Diva Terulung KNKV Viral Award 2024 itu turut disentuh tentang kehadiran teknologi moden dan kecerdasan buatan (AI) dalam dunia penciptaan lagu.

PERCAYA ilham kurniaan Tuhan lebih indah, Aina enggan menggadai ilmu muziknya dengan penggunaan AI yang semakin berleluasa dalam menghasilkan lagu.
Aina bagaimanapun meluahkan kebimbangannya terhadap kecenderungan segelintir pihak menggunakan teknologi sebagai ‘jalan pintas’ menghasilkan karya.
Terus terang, saya kurang selesa dengan penggunaan teknologi dalam penciptaan melodi. Sesiapa yang pernah tulis lagu pasti tahu betapa sukarnya lahirkan satu melodi yang benar-benar jujur.
“Teknologi boleh jadi alat bantu beri inspirasi, tapi bukan untuk disalin bulat-bulat.
“Melodi yang datang daripada ilham Tuhan dan melodi yang dicipta mesin itu tak sama. Mungkin boleh guna sedikit, 20 peratus contohnya, tapi selebihnya mesti datang daripada hati dan fikiran sendiri.
Guna AI hasilkan lagu mungkin berkesan untuk sesetengah orang tapi bukan untuk saya. Saya lebih rela bersusah payah mencari idea sendiri sebab hasil titik peluh itu jauh lebih mahal dan bermakna,” katanya.
Menurut pemenang trofi Juara Lagu edisi ke-37 itu lagi, semoden mana pun teknologi, tidak mampu menggantikan nilai keaslian ilham.
“Pada akhirnya, ilham kurniaan Tuhan tak datang dengan mudah. Bila kita bersusah payah, hasilnya akan kekal lama dan evergreen.
Saya kagum dengan kemajuan teknologi tapi untuk digunakan sepenuhnya, rasa seperti curang dengan perjalanan 10 tahun saya sebagai komposer. Kalau semudah itu mencipta lagu, kenapa saya perlu bersusah payah selama ini?
“Saya tidak mahu menipu diri sendiri. Saya rela setia dengan kesusahan yang mendewasakan daripada menukar keaslian dengan kesenangan. Harap tiada siapa terasa, tapi itulah pendirian saya,” tutupnya. – HIBGLAM