‘Terliur, satu Malaysia masak telur bilis Amira Othman’

GARA-gara video masakan pengantin popular, lauk telur mata tumis bawang dengan bilis yang disediakan Amira Othman buat suaminya, Fattah Amin menjadi ikutan ramai.

Juadah mudah yang disediakan ketika berbulan madu di Switzerland itu mengundang selera sehingga ramai pengikut media sosial selebriti terbabit teruja menyediakan hidangan sama.

Penangan video ‘telur bilis’ juga menyebabkan Instagram Amira serta Fattah dibanjiri gambar lauk hasil buatan netizen seperti dimasak penyanyi lagu Cinta Terakhirku itu.

Pasangan yang berbulan madu di negara empat musim itu turut berkongsi semula foto masakan bersama kapsyen mencuit hati daripada pengikut mereka dalam InstaStory.

Menerusi ruangan komen di TikTok, peminat terhibur melihat resepi mudah isteri syurga itu mampu membuatkan ramai terliur sehingga bagai diseru ke dapur untuk memasak.

“Rasanya satu Malaysia masak lauk ini minggu ini,” tulis seorang netizen.

“Penangan seorang bernama Amira Othman, lain betul auranya. Padahal resepi itu ringkas sahaja tetapi ramai terliur,” kata pengguna akaun TikTok lain.

Terdahulu, pasangan terbabit disatukan di sebuah hotel di Sepang, Selangor bertepatan hari jadi Fattah yang ke-35 pada 14 September lalu. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok