PELAKON dan pengacara, Harris Aliff menyindir tindakan seorang selebriti yang sebelum ini lantang mencabarnya untuk berentap dalam kejohanan tinju, All Star Championship 2025, namun tiba-tiba menarik diri saat akhir.
Ujar Harris atau nama sebenarnya, Nor Harris Alif Nor Rashidi, 26, tindakan tersebut jelas tidak selari dengan dakwaan berani yang pernah dilemparkan aktor terbabit.
“Dia tarik diri. Bila tiba masa hendak tandatangan kontrak, terus menghilangkan diri. Kalau betul berani, tampil ke depan.
Isu ini tidak akan berhenti begitu sahaja. Saya akan cuba berbincang dengan penganjur agar perlawanan tinju profesional tetap dapat diadakan antara kami.
“Bila dia undur diri, semakin jelas nampak takutnya. Mulut sahaja lebih, hakikatnya penakut,” katanya kepada Kosmo! Online.
Tambah bapa dua anak itu, penyertaannya dalam kejohanan berkenaan bukan sekadar suka-suka, sebaliknya langkah awal untuk lebih serius dalam arena tinju.
Saya memang teringin sertai kejohanan tinju. Sebelum ini tidak pernah ada pengalaman, jadi pertandingan kali ini jadi permulaan.
“Selain itu, hadiah lumayan juga ditawarkan. Sekurang-kurangnya saya dapat pengalaman dan pada masa sama mencari rezeki buat keluarga,” ujarnya ketika ditemui pada saringan pertama All Star Championship 2025, di sini, semalam.
Terdahulu, Harris menyahut cabaran untuk bertanding dalam kejohanan tinju Asia Championship 2025 bagi menuntut bela selepas ahli keluarganya dihina seorang pelakon.
Ujarnya, pelakon itu telah menghina dia dan isteri iaitu pelakon Intan Ladyana dalam media sosial.
Untuk rekod, All Star Championship 2025 menghimpunkan lebih 20 selebriti serta pempengaruh tanah air dalam satu pentas tinju yang menggabungkan elemen sukan dan dunia digital.
Kejohanan berkenaan bakal diteruskan ke pusingan kedua pada 4 Oktober depan sebelum melabuhkan tirainya pada 18 Oktober seiring dengan penganjuran All Stars Influencer Award 2025. – HIBGLAM