Siti Nurhaliza terkejut nama direkodkan sebagai Legenda Asia Tenggara

BIDUANITA NEGARA, Datuk Seri Siti Nurhaliza terkejut apabila namanya direkodkan sebagai Legenda Muzik Asia Tenggara oleh SeaAsia Stats selepas meraih lebih 300 anugerah sepanjang lebih dua dekad bergelar anak seni.

Siti atau nama lengkapnya Siti Nurhaliza Tarudin, 46, turut mengekalkan tahta sebagai artis Malaysia paling banyak menerima anugerah sehingga kini.

Menurut Siti, dia sendiri terkejut apabila mengetahui berita tentang pengiktirafan tersebut kerana sibuk dengan aktiviti pertandingan Pickle Balls anjuran Yayasan Nurjiwa.

“Betul ke ni? Alhamdulillah, terima kasih saya pun tak fikir pasal ini kerana sibuk dengan aktiviti dan juga kerja yang perlu diselesaikan.

“Kalau ada pihak-pihak yang hargai saya bersyukur, saya bekerja selama ini pun atas sebab cinta dan minat saya kepada muzik.

“Setiap orang boleh melakukan yang terbaik dalam diri mereka dan sumbangan mereka kepada negara.

“Jadikan ini sebagai suntikan semangat,” katanya ketika ditemui pada acara Paddle For Hope, di sini, hari ini.

Tambahnya lagi sama ada menang anugerah atau tidak, dia tetap akan memberikan yang terbaik dalam setiap hasil kerjanya.

“Saya menang anugerah atau tidak, saya akan lakukan sebaiknya untuk penghasilan album, persembahan pentas atau konsert. Saya akan berikan yang terbaik.

“Saya buat ini pun bukan semata-mata untuk mendapat anugerah tetapi atas kecintaan saya terhadap seni. Saya sudah dalam fasa memberi semula kepada masyarakat dalam apa saya yang saya lakukan.

“Status legenda itu satu penghargaan yang besar tetapi saya tidak mahu status itu membuatkan saya tertekan atau terbeban, apa yang penting saya teruskan dengan kerja yang bagus kerana ia sudah seperti menjadi tugas untuk membahagiakan orang,” ujarnya.

Terdahulu semalam, SeaAsia Stats melaporkan nama Siti Nurhaliza direkodkan sebagai Legenda Muzik Asia Tenggara mewakili Malaysia. Turut tersenarai sembilan lagi penyanyi negara Asia Tenggara yang lain termasuklah Iwan Fals Indonesia. – HIBGLAM.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok