Anak tiri bongsu Siti Nurhaliza kini suami orang

ANAK tiri Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, Aazief Khalid selamat diijabkabulkan dengan pilihan hati, Izza Athirah Shiraffuddin pada majlis yang berlangsung di Tropicana Golf & Country Resort, hari ini.

Menggayakan baju Melayu rona putih lengkap bersongkok, putera bongsu daripada empat bersaudara berusia 26 tahun itu sah bergelar suami hanya dengan sekali lafaz.

Hari bersejarah Aazief dan Izza itu dikongsikan Siti Nurhaliza dalam Instagramnya yang turut disertakan ucapan kesyukuran atas permulaan kehidupan baharu pasangan itu

“Alhamdulilah,” ucapnya ringkas menerusi hantaran video Aazief dinikahkan selain berkongsi momen mempelai di atas pelamin.

Difahamkan pasangan terbabit dinikahkan bapa kepada pengantin perempuan dan Izza menerima satu dinar emas sebagai mas kahwin.

Semalam, majlis berinai bertemakan ‘Arabian Night’ diadakan di Al Halabi Gourmet, Pavilion Damansara Heights yang dihadiri keluarga terdekat.

Pada April lalu, Aazief yang merupakan lulusan Universiti Oxford Brookes, England mengumumkan mengikat pertunangan bersama Izza menerusi laman sosial miliknya.

Selain Aazief, perkahwinan Datuk K atau Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa dengan bekas isterinya, Tengku Zawyah Tengku Izham turut dikurniakan tiga zuriat iaitu Muhd Anas Zawawi, Muhammad Adib serta Muhammad Asyraf. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok