BEKAS suami bintang terkenal Erra Fazira, Engku Emran Engku Zainal Abidin berbangga dengan kecemerlangan anak tunggal mereka, Engku Aleesya yang meraih 7A dalam peperiksaan International General Certificate of Secondary Education (IGCSE).
Engku Emran, 50, mendedahkan kejayaan diraih Aleesya sebagai penghargaan untuk seorang bapa yang mendedikasikan masa dalam memastikan permata hatinya itu cemerlang dalam pelajaran.
“Ini adalah penghargaan buat satu-satunya anak saya, Aleesya. Terima kasih kerana membuat hati saya dipenuhi rasa bangga dan gembira yang tidak terhingga.
“Selama 11 tahun persekolahan kamu, saya tidak pernah terlepas satu pun acara sekolah yang kamu sertai.
“Saya hadir setiap sesi pertemuan ibu bapa, bersorak untuk setiap larian kamu, semuanya atas dasar kasih sayang dan tanggungjawab sebagai ayah,” katanya dalam hantaran di Instagram.
Pada perkongsian sama, Engku Emran turut mengimbas detik sukar dilalui mereka berdua termasuk ketika sesi ulang kaji sehingga lewat malam selain menempuh kesesakan lalu lintas untuk kelas tambahan.
“Hari ini kamu buktikan segala pengorbanan itu tidak sia-sia. Terima kasih Aleesya kerana menjadikan hari ini hari paling bermakna dalam hidup saya.
“Tahniah atas 7A, anak ayah! Alhamdulillah. Kekal merendah diri dan jangan lupa asal usul,” ujarnya.
Terdahulu, Erra turut menzahirkan ucapan tahniah kepada puterinya itu di media sosial dengan menyatakan perasaan bangga atas pencapaiannya.
“Salah satu detik yang paling tidak akan saya lupakan. Saya ingin katakan bahawa saya bangga dengan kamu, anak!
“Terima kasih kepada semua guru yang membantu anak saya berjaya dengan cemerlang.
“Dan terima kasih juga kepada keluarga serta rakan-rakan yang mendoakan Aleesya untuk peperiksaannya,” katanya.
Terdahulu, Erra dan Engku Emran berkahwin pada 25 Oktober 2007 namun selepas tujuh tahun hidup sebagai suami isteri mereka bercerai secara baik pada 18 Februari 2014.
Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan Engku Aleesya yang kini mencecah usia 16 tahun. – HIBGLAM