JARANG sebenarnya kisah cinta pasangan lelaki muda dan wanita berusia diketengahkan dalam drama mahupun filem tanah air. Situasi sebegitu dapat disaksikan dalam naskhah terbaharu platfrom Viu, Seadanya Kita yang sedang mencuri perhatian ramai ketika ini.
Tidak prejudis, bintang utamanya, Mierul Aiman, menganggap hubungan cinta jarak usia atau ‘love gap’ antara lelaki muda dan wanita lebih berusia perlu dilihat sebagai sesuatu yang normal.
“Orang selalu salah anggap apabila lelaki muda berkahwin dengan wanita lebih tua kerana jarang terjadi depan mata mereka.
Situasi itu juga mungkin berlainan daripada norma kehidupan, di luar kebiasaan. Mereka anggap tidak normal, tak seperti cinta biasa yang sering kita dengar.
“Namun, itu juga adalah sebahagian daripada proses yang perlu dijalani seseorang. Saya tak anggap situasi itu satu kesalahan,” katanya kepada HibGlam.
Memegang watak sebagai Kerol dalam Seadanya Kita yang ditayangkan Viu bermula 7 Ogos lalu, Mierul memerlukan penghayatan mendalam bagi menjayakan watak berkenaan.
“Saya perlu faham kenapa ada yang menjalinkan hubungan cinta dengan jarak umur berbeza.
Apabila mendalami karakter ini, saya jadi faham rumitnya isu ini, demi menjadikan percintaan jarak umur logik diterima akal,” ujarnya lagi.
Pelakon pelapis
Mierul juga tidak menafikan watak Kerol memberikan cabaran besar buat dirinya sebagai pelakon untuk menjiwai peranan lelaki menjalinkan hubungan dengan wanita berusia.
Semestinya ada cabaran besar. Itu tugasan agar saya betul-betul faham bagaimana harus melalui situasi seperti ini dalam dunia realiti.
“Saya percaya skrip dihasilkan penulis dan arahan Feroz membuatkan pelakon betul-betul memahami dan dapat memasukkan setiap emosi dalam situasi dengan tepat.
“Kalau kita tak dapat perincikan peletakan perasaan dan emosi kepada karakter-karakter dengan tepat, itu yang menjadikannya samar, kabur atau tak jelas untuk dijiwai penonton,” jelasnya.
Bukan hanya situasi karakter yang mengujakan tentang naskhah berkenaan. Lebih membuatkan hatinya berbunga apabila dipuji regu lakon, Emma Maembong yang menyifatkannya sebagai pelakon lelaki pelapis tempatan yang mampu memeriahkan industri hiburan.
Pujian tersebut menjadi pembakar semangat untuknya terus menimba ilmu dan memperbaiki kelemahan diri.
“Kalau saya dapat menyampaikan babak atau situasi dalam sebuah cerita dengan tepat kepada orang, maksudnya penjiwaan itu sampai.
Bila orang boleh kaitkan dan faham karakter, itu satu kejayaan buat saya. Bila ada yang kata tentang pelapis, saya anggap sebagai maklum balas yang baik kerana dapat buktikan dapat galas amanah dalam pekerjaan saya.
“Kepercayaan sebegitu membuatkan saya lebih lapar untuk mencari banyak ilmu tentang dunia kreatif ini,” tutupnya. – HIBGLAM
PUJIAN regu lakon dan penonton menjadikan Mierul Aiman semakin ‘lapar’ untuk menghadam lebih banyak ilmu dalam bidang kreatif ini.