Sesak nafas, tiba-tiba mengamuk, lain macam Paraxnormal

MENGGABUNGKAN elemen seram, psikologi, komedi dan nilai persahabatan, naskhah baharu Paraxnormal menyingkap sisi gelap sifat tamak, dengki dan iri hati manusia.

Sarat kejutan, naratif naskhah terbitan Nanord Studio Production yang bakal ditayangkan bermula 28 Ogos ini membawa penonton menyingkap kisah empat sekawan dalam mendepani entiti misteri.

Setelah terjumpa harta karun, hidup empat sahabat, Yasin lakonan Joey Daud serta Asri (Azhan Rani), (Fateh) Epy Kodiang dan Anas (Amir Nafis) berubah total.

Bagi Joey atau nama sebenarnya Zulkifli Daud, 51, pengalaman sepanjang hampir tiga minggu di set penggambaran bersama barisan pelakon lain menyuntik pengalaman baharu.

Komedi

Katanya, biarpun karya arahan Mohd. Suzana Rosly itu merupakan genre komedi, cabaran menghidupkan karakter Yasin cukup besar, sekali gus memerlukan komitmen jitu.

“Nampak mudah sebab saya seorang pelawak tapi hakikatnya agak sukar kerana kami kena nampak serius dalam adegan mendebarkan pada masa sama menggeletek hati penonton.

Apabila satu set dengan kawan-kawan sekepala terutama pelakon senior seperti Kamarool Yusoff dan Elly Suriati, memang sampai sesak nafas nak tahan gelak.

“Mujur masing-masing profesional tapi kadangkala ‘terbabas’ juga ketawa. Apa pun pengalaman bergabung dengan mereka walaupun ada yang pertama kali dengan saya sangat menyeronokkan,” ujarnya ketika hadir mempromosikan Paraxnormal di Studio Media Mulia, baru-baru ini.

TERLIHAT kelakar tanpa perlu berdialog atau menggerakkan anggota tubuh, itu cabaran besar Joey dalam Paraxnormal yang menuntut lakonan serius daripadanya.

Berkongsi lagi mengenai penggambaran, katanya sepanjang di set kisah komedi seram itu dia dan pelakon lain tidak berdepan gangguan, namun ada kru ternampak entiti misteri.

Kalau kisah mistik begini kerap ada sesuatu tapi alhamdulillah saya tak dibuka hijab, cuma saya dimaklumkan ada dalam kalangan petugas belakang tabir bertembung sesuatu,” ujarnya.

Teman gandingan, Amir Nafis pula pula tidak menyembunyikan perasaan teruja dapat berkongsi layar dengan otai-otai yang dikagum, terutama Joey yang cukup berpengalaman dalam dunia komedi.

Membawakan watak Anas, Amir akui karakter lakonannya jauh berbeza dengan tiga lagi karakter utama naskhah terbitan syarikat BraderFilem itu, sekali gus memberi cabaran unik untuk dikenang.

Akui aktor berusia 33 tahun yang kerap tampil dalam filem aksi itu, semua gandingan dan pelakon senior lain sangat lucu, bahkan mereka juga gemar ‘adlip’ dialog yang memerlukannya pantas memberikan maklum balas.

Penampilan kali ini agak lain. Watak Anas serius, tetapi sarat elemen kelakar yang ada di sekelilingnya. Jadi saya perlu kental dan kekal serius sebaik kamera dihalakan.

“Sudah tentu seronok sepanjang bekerja dengan mereka, semua pun saling membantu, tambahan pula sebelum ini saya banyak terbabit dalam filem aksi, sekali gus peluang muncul dalam genre komedi seram ini bawa kelainan dan dan sangat istimewa,” katanya.

LSERING terbabit dalam filem aksi termasuk Blood Brothers, Amir Nafis mengakui watak lakonannya sebagai Anas dalam Paraxnormal sungguh mengujakan apatah lagi dapat bergandingan otai-otai dunia lakonan yang cukup banyak pengalaman.

SERING terbabit dalam filem aksi termasuk Blood Brothers, Amir Nafis mengakui watak lakonannya sebagai Anas dalam Paraxnormal sungguh mengujakan apatah lagi dapat bergandingan otai-otai dunia lakonan yang cukup banyak pengalaman.

Set ‘diganggu’

Sementara itu, penerbitnya, Nurul Ain Nordin berkata, Paraxnormal terinspirasi secara spontan ketika berbual bersama sahabatnya yang juga pelakon dan penulis skrip, Epy Kodiang.

Kami pernah bekerjasama dalam sebuah naskhah seram komedi sebelum ini. Jadi, kami percaya genre ini masih mempunyai peminat tersendiri dan akhirnya tercetus idea untuk menghasilkan Paraxnormal.

“Naskhah ini bukan sahaja menghiburkan, tetapi membawa mesej mendalam mengenai erti ‘kadang-kadang yang seram bukan hantu, tapi member sendiri’,” katanya.

Kongsi Ain lagi, Paraxnormal asalnya dirancang sebagai super telefilem, namun disebabkan kekuatan jalan cerita, naskhah itu diputuskan dibawa ke layar perak.

“Antara cabaran yang dihadapi termasuk masalah teknikal seperti monitor dan kabel yang rosak walau selepas diganti serta kejadian aneh yang sukar dijelaskan.

Ada juga sewaktu penggambaran, kru mendakwa terlihat ‘dua Ain’ serentak di set, selain insiden penolong pengarah mengamuk tanpa sebab dan kemudian pengsan secara tiba-tiba hingga penggambaran terpaksa ditangguhkan,” ujarnya.

Paraxnormal yang mengangkat kisah empat sahabat mengalami kejadian menyeramkan ketika cuba merompak sebuah di vila misteri akan ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 28 Ogos depan.  – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok