PELAKON Puteri Sarah Liyana dengan lantang menasihati kaum wanita supaya menjadi lebih bijak dan bermaruah tanpa terlalu bergantung harap dengan orang lain.
Sebagai wanita yang pernah melalui fasa sukar dalam perkahwinannya, Sarah, 37, menyarankan wanita lain yang turut mengalami nasib sama sepertinya untuk bertindak lebih bijak ketika hati mula tawar.
“Hangat pula isu ‘Tesla’. Tak suka angkat kaki, good bye (selamat tinggal). Wanita jangan jadi bodoh nak tunggu (setia). Kita ada maruah.
“Tak payah nak berlumba-lumba, macam ikan lumba-lumba pula,” ujarnya.
Sarah berkata demikian sebagai respons berhubung isu ‘Abang Tesla’ yang hangat diperkatakan netizen sejak minggu lalu, tentang kisahnya meminta izin daripada isteri pertama untuk berkahwin lagi, beberapa jam sebelum menikah dengan isteri kedua.
Pada masa sama, ibu kepada dua cahaya mata itu turut menasihati wanita lain untuk lebih berdikari dan bekerja keras untuk mencari duit sendiri.
“Kerja keras, cari duit sendiri, berdikari dan mengembara ke seluruh dunia. Jadi wanita yang bijak dan bermaruah.
“Jangan berharap pada orang lain. Kamu ada hak. Sayangi diri sendiri dan tahu mana yang lebih bernilai,” katanya.
Terdahulu, Syamsul dan Puteri Sarah disahkan bercerai talak satu pada 13 Jun lalu selepas sembilan tahun mendirikan rumah tangga.
Sekitar Januari lalu, Syamsul mengejutkan ramai apabila mengesahkan sudah bernikah dengan Ira Kazar di Thailand. – HIBGLAM