Bertakhta di hati, bebas kontroversi

DUNIA hiburan Korea Selatan ibarat taman bunga, indah dipandang, harum mewangi, namun penuh duri tajam.

Di sebalik populariti menjulang, tidak dinafikan ramai bintang K-pop terjerat dengan kisah hitam kontroversi yang menghakis reputasi.

Pun begitu dalam kemelut industri yang penuh ranjau itu, masih ada kuntuman yang mekar kelopaknya busuk dek najis tak guna.

Selebriti bebas skandal umpama berlian asli gred terbaik, sukar dicari, mahal nilainya. Bukan sekadar bakat mempesona, tetapi turut memiliki keperibadian unggul yang menjadikan mereka layak disanjung dan dihormati.

Tatkala netizen pantas menghukum setiap gerak geri selebriti, Kimchi Panas minggu ini menampilkan empat figura seni Korea Selatan yang tetap kekal harum namanya, meskipun bergelumang dalam dunia hiburan penuh skandal dan sisi gelap.

Gong Yoo

 

Gong Yoo bukan sekadar pelakon tetapi simbol karisma lelaki Korea Selaran. Pemilik nama sebenar Gong Ji-cheol itu sudah membina nama sejak era Coffee Prince dan melonjak semula menerusi Train to Busan serta Goblin.

Lebih dua dekad berkecimpung dalam industri, aktor berusia 46 tahun itu tidak pernah terpalit sebarang skandal. Namanya kekal bersih, seakan-akan bukti kejayaan tidak perlu ditukar ganti dengan sensasi murahan.

Mengujakan lagi, jejaka tampan itu kerap terlibat dalam kerja-kerja kemasyarakatan. Dia membantu mangsa bencana alam, hingga menyalurkan sumbangan untuk golongan memerlukan, empatinya mencerminkan keperibadian luar biasa.

Ramai memuji Gong Yoo bukan hanya kerana rupa parasnya yang kacak dan berbakat besar, tetapi kerana hatinya yang lembut dan penuh kasih.

IU

Keanggunan wajah dan kelembutan tutur kata menjadikan IU figura seni sempurna, malah ramai selebriti lelaki mengaku menjadi peminat setianya sejak sekian lama.

Lebih hebat, wanita cantik itu tidak pernah tercalit sebarang skandal besar atau kontroversi yang menjejaskan reputasi.
Idola berusia 32 tahun itu dikenali kerana selalu meletakkan peminat sebagai keutamaan.

Daripada menjawab mesej peminat secara peribadi hingga memberi kejutan hadiah, layanan mesranya melayakkan IU digelar ‘Queen of Fan Service’.

Dia bukan sahaja memenangi hati peminat menerusi lagu tetapi juga dengan kasih sayang yang ikhlas. Bagi peminat, IU tidak sekadar penyanyi atau pelakon tetapi simbol kesempurnaan yang jarang wujud dalam dunia hiburan.

Park Bo-gum

Sejak melangkah masuk ke dunia lakonan pada 2011, aura Park Bo-gum tidak pernah pudar. Senyumannya menyejukkan jiwa, lakonannya meruntun rasa.

Lebih hebat, Bo-gum sentiasa hadir dengan imej bersih dan tidak pernah terpalit kontroversi.

Dia juga pernah pernah dinobat sebagai ‘CF King’ (Raja Filem Komersial) pada 2017 kerana menjadi wajah utama deretan naskhah hebat.

Aura positif jejaka tampan itu begitu kuat sehingga deretan jenama terkemuka berlumba-lumba mendapatkan khidmatnya sebagai duta.

Aktor berusia 32 tahun itu juga dikenali sebagai figura yang merendah diri dan menghormati semua orang termasuk peminat hingga kru produksi.

Maka tidak hairanlah namanya terus menjadi kegemaran ramai, meskipun sudah lebih sedekad beraksi di layar perak.

Kang Ha-neul

Kang Ha-neul ibarat bintang yang tidak pernah tenggelam meski tidak selalu menjadi watak utama.
Sejak muncul sebagai pelakon pembantu, jejaka berusia 35 tahun itu perlahan-lahan mencipta nama.

Kerjaya aktor tampan itu berkembang pesat, namun lebih mengagumkan ialah sikap rendah dirinya.

Dikenali sebagai insan yang sopan, dia sering dilambung pujian atas keperibadiannya yang menyenangkan, malah pernah menghadiahkan barang perkahwinan kepada seorang wartawan hanya kerana tersentuh dengan budi bicara dalam satu sesi temu bual.

Sebelum bergelar aktor, Ha-neul pernah tular dengan kisah membantu seorang wanita tua tanpa mengharapkan pujian atau balasan. Nilai kemanusiaan dalam dirinya mengatasi gemerlap dunia hiburan yang penuh godaan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok