‘Ambil tanggungjawab ini Amy Search, habis semua kepoh tuduh aku!

SERABUT nama terus dikaitkan, penyanyi Datuk Awie menggesa rakannya, Datuk Amy Search agar segera tampil memberikan penjelasan berhubung kontroversi serangan terhadap Shila Amzah ketika sesi latihan konsert di Stadium Merdeka, baru-baru ini.

Ujar Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, 56, dia tidak ada kaitan dengan insiden tersebut, namun terpaksa menanggung kecaman gara-gara spekulasi liar yang tular dalam media sosial.

“Amy Search, kau cerita benda betul. Habis semua manusia kepoh tuduh aku!

“Ambillah tanggungjawab ini. Beritahu perkara sebenar. Penat dan sesak dada aku nak membaca dan menjawab hal kau!,” katanya menerusi hantaran dalam Facebook.

Luahan pelantun lagu Di Penjara Janji itu seolah-olah menggambarkan dirinya sudah terlalu lama dalam industri untuk terbabit dalam perkara seperti itu dan tidak wajar menjadi kambing hitam dalam isu tersebut.

Sementara itu, ruangan komen netizen dibanjiri pelbagai reaksi malah ramai mendesak agar individu sebenar tampil ke hadapan.

“Kalau bukan Awie, Amy patut cakap sekarang. Jangan biar kawan dituduh sesuka hati, kalau betul lah anggap Awie kawan,” katanya menerusi video netizen.

“Awie berani bersuara sebab dia tahu dia tak salah. Kita tunggu siapa yang diam tu bersuara,” tulis pengguna media sosial.

“Kesian Awie kena tempias. Nampak sangat benda ni tak selesai dalam kalangan mereka sendiri,” ujar peminat.

Terdahulu, Shila mendakwa dirinya mengalami kebimbangan melampau atau anxiety selepas diserang seorang artis legenda ketika menjalani latihan konsert MR D.I.Y, kelmarin.

Pengurusnya, Aini memaklumkan laporan polis telah dibuat susulan insiden terbabit.

Rentetan pendedahan tersebut, beberapa nama artis senior termasuk Awie, Amy Search dan Ella mula disebut netizen kerana turut membuat persembahan dalam konsert sama.

Kosmo! Online semalam melaporkan pihak polis sudah membuka kertas siasatan dan memanggil beberapa saksi terlibat bagi membantu siasatan. – HIBGLAM.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok