‘Kongsi sebagai peringatan, bukan bangga makan makanan haram’

BAGI mengelak salah faham, penyanyi Syasya Rizal mengakui tidak menjamah daging babi seperti dakwaan ramai semasa bercuti di China baru-baru ini.

Pertama kali berhadapan situasi tersebut, Syasya atau nama lengkapnya Norsyasya Afiqah Shahrizal, 24, berharap dijauhkan daripada fitnah terhadap dirinya.

Waktu itu dalam mulut saya tengah kunyah benda lain bukan pun yang ada unsur haram sebab itu saya tanya, saya benar-benar tak tahu.

“Ini merupakan kali pertama saya berdepan situasi seperti itu waktu bercuti. Bukan sebab saya biasa dan bangga makan makanan haram.

Nauzubillah, moga Allah jauhkan kita semua dari fitnah dan dari memfitnah,” katanya menerusi hantaran Instagram.

Tambahnya lagi, video yang dimuat naik sebelum ini hanya sebagai pengajaran kepada peminatnya.

“Saya kongsikan video itu sebagai peringatan untuk diri sendiri dan mungkin kepada orang di luar sana yang masih belajar macam saya.

Makanan buffet hidang makanan halal. Bukannya saya secara rawak makan di tempat yang tak halal.

“Kadang kita lupa, lain negara lain caranya dan saya masih dalam proses belajar,” ujarnya.

Selain itu, bekas kumpulan Dolla itu bersyukur mempunyai suami, Nasrullah Mohd. Sapie yang sentiasa mengingatkan mengenai hal agama.

“Alhamdulillah, saya ada suami yang selalu mengingatkan saya dengan kasih sayang.

Islam itu agama yang penuh kasih, bukan cacian. Agama yang lembut, bukan menghukum, yang peluk kita bila kita sesat jalan, bukan tolak kita lebih jauh. Mari kita sentiasa pilih untuk beringat dengan kasih sayang.

“Bukan dengan maki, bukan dengan murtadkan orang lain waktu dia tersungkur sebab tak ada seorang pun yang sempurna tapi kita boleh belajar sama-sama,” jelasnya.

Sebelum ini, Syasya secara tidak sengaja didakwa termakan daging babi ketika menikmati hidangan di sebuah restoran di China.

Perkara terbabit disedari selepas suaminya bertanyakan kepada petugas mengenai makanan untuk Muslim. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok