Amar Baharin sebak tatap makam Rasulullah SAW

PELAKON Amar Baharin menyifatkan sambutan Hari Raya Aidiladha pada tahun ini membawa makna berbeza terutama selepas dia melengkapkan misi kayuhan ke Tanah Suci dalam tempoh sebulan.

Menurut Amar atau Amar Mohd Baharin, 40, misi yang dilakukan bersama Datuk Muhammad Muqharabbin Mokhtarrudin sejak 27 April lalu itu adalah salah satu pengorbanan terbesar sepanjang hidupnya setakat ini.

“Pengorbanan aku tahun ini bukan pada sembelihan binatang ternakan namun lebih kepada pengorbanan masa dan tenaga untuk bermusafir melihat kebesaran Allah SWT.

“Setiap inci tanah yang aku lalui, sama ada melangkah atau berkayuh adalah pengalaman yang tidak dapat dibeli dengan wang ringgit.

“Lelah dan keringat perjalanan hilang tatkala melihat atap Masjid Nabawi di Madinah yang tersergam indah penuh sejarah dan barakah di Tanah Haram,” katanya dalam Instagram.

Kongsi suami kepada pelakon Amyra Rosli itu lagi, dia juga tidak dapat menahan sebak tatkala melihat makam Rasulullah SAW yang terletak di Masjid Nabawi.

“Mengalir air mata ziarah Nabi Muhammad SAW kekasih Allah,” ujarnya.

Dalam ruangan komen, rata-rata netizen melahirkan rasa bangga dengan kejayaan Amar selain menjadikannya sebagai inspirasi.

“Rakyat Malaysia bangga dengan awak.

“Terbaik Amar, pengorbanan yang boleh dijadikan contoh untuk anak muda,” komen netizen.

Terdahulu, misi kayuhan dilepaskan Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail itu bermula di Padang Besar, Perlis pada 27 April lalu merentasi empat negara iaitu Thailand, Iran, UAE dan Arab Saudi serta mengambil masa 33 hari.

Dia seterusnya menamatkan kayuhan selepas selamat tiba di Madinah pada 29 Mei lalu. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok