KUMPULAN KRU melakar sejarah menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBR) menerusi pencapaian luar biasa Konsert GenKRU 2025 selama empat hari yang berlangsung di Stadium Axiata Arena Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
Malaysia Book of Records memberi pengiktirafan kepada trio adik-beradik, Datuk Norman Abdul Halim, Yusry dan Edry menerusi penganugerahan Most Show in A Single Concerts Series (Persembahan Terbanyak Dilakukan Dalam Satu Siri Konsert).
KRU telah melakukan persembahan konsert selama empat malam pada 3, 4, 10 dan 11 Mei 2025.
“Pencapaian ini adalah sebuah apresiasi bukan untuk KRU secara peribadi tetapi buat peminat yang telahmenjadikan Konsert GenKRU 2025 daripada rencana asalnya hanya satu malam kepada dua, tiga sehingga empat malam.
“KRU seharusnya berterima kasih terhadap sokongan tanpa henti selama lebih tiga dekad kami berada dalam industri sehingga lahir penganjuran Konsert GENKRU 2025 selama empat malam sehingga diiktiraf Malaysia Book of Records (MBR),” ujar Norman mewakili KRU.
Tidak hanya KRU, ICON Entertainment selaku penganjur turut menerima pengiktiraran MBR dengan Most Concert Tickets Sold Out In An Hour (Penjualan Tiket Konsert Terpantas DalamTempoh 1 Jam).
Pengiktirafan tersebut diberi selepas 8,000 tiket Konsert GENKRU terjual dalam tempoh satu jam.
“Dan kami di Icon Entertainment dengan suka cita berkongsi pengiktirafan ini kepada semua peminat KRU yang telah menjadikan Konsert GenKRU cukup luar biasa bukan hanya kerana pembelian tiket terlaris dalam tempoh satu jam tetapi telah menjadikan konsert ini gemilang dengan empat malam penganjuran,” ujar pengasas Icon Entertainment, Iman Tang.
Konsert GENKru yang sudah dihadiri lebih 30,000 peminat turut menyaksikan kemunculan istimewa seperti kumpulan Feminin, Elite dan Adam AF. – HIBGLAM