PENGARAH dan penerbit terkenal Datuk Yusof Haslam tidak menyangka filem Blood Brothers: Bara Naga menjadi fenomena sehingga berjaya mengutip RM62 juta selepas 20 hari di pawagam dan tayangan awal.
Menurut Yusof, kejayaan Blood Brotthers adalah disebabkan komitmen para pelakon dan seluruh pasukan produksi yang tidak berhenti membuat promosi.
“Promosi untuk filem ini terbukti berkesan sebab sampai ada kawan saya yang tak pernah tengok wayang pun pergi ke panggung sebab cucu mereka ajak.
Ada yang bertongkat dan berkerusi roda. Fenomena dia luar biasa. Alhamdulillah tak sangka sebab satu kejayaan hebat buat Syafiq Yusof dan Abhilash Chandra.
“Filem ini adalah naskhah satu Malaysia sebab gabungkan banyak bangsa dalam satu skrin dan konsep sebegini akan dikekalkan dalam Sheriff 2,” katanya pada sidang media sempena kutipan RM62 juta semalam.
Dalam masa sama, Yusof Haslam enggan meletakkan jumlah kutipan yang terlalu tinggi untuk filem tersebut.
“Secara peribadi, saya tak mahu letak ini sebagai perkara terbaik sebab yang terbaik hanya Allah SWT.
“Apa sahaja kutipan yang datang, kami tak pernah ramalkan tapi syukur balik modal.
“Kita cuma doakan yang terbaik buat masa ini sebab siri jelajah pun masih berterusan,” jelasnya.
Berita gembira, dia turut mengumumkan filem tersebut akan ditayangkan di Thailand, Kemboja dan Vietnam dalam tempoh terdekat.
“Thailand sudah sah dan ikut perancangan sebulan dari sekarang, mungkin sekitar Jun depan.
“Kita akan buat pelaburan dan lakukan alih bahasa mengikut negara,” ujarnya.
Sementara Syafiq pula berkata, kutipan Blood Brothers juga dilihat akan mengatasi Sheriff: Narko Integriti iaitu RM63 juta selepas sebulan tayangan.
“Kutipan sekarang ini sudah cukup menggembirakan saya.
“Komitmen para pelakon pun sangat bagus sebab turun padang sama-sama membantu promosikan filem ini.
“Kuasa promosi mulut ke mulut orang Malaysia juga antara faktor filem ini berjaya meraih kutipan tinggi ketika ini,” ujarnya.
Kejayaan hebat filem terbitan Skop Productions dan Primework Studios yang membariskan Syafiq Kyle, Sharnaaz Ahmad, Shukri Yahaya, Syazwan Zulkifly, Zamarul Hisham, Wan Hanafi Su dan Amelia Henderson kini meletakkanya dalam senarai Top 5 filem tempatan terlaris sepanjang zaman.
Blood Brothers kini berada di kedudukan ketiga dalam senarai lima filem tempatan dengan kutipan tertinggi selepas Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan (RM97.4 juta), Sheriff: Narko Integriti (RM63.2 juta), Polis Evo 3 (RM54.1 juta) dan Munafik 2 (RM48 juta). – HIBGLAM