‘Saya juga seorang ibu…’ – Telaga Suriram sentap emosi Siti Nurhaliza

MEMBERI sepenuh jiwa ketika mendendangkan lagu tema filem seram Telaga Suriram, Biduanita Negara Datuk Seri Siti Nurhaliza mengakui naluri keibuannya mudah tersentuh apabila membabitkan hal kanak-kanak.

Naskhah genre seram psikologi berkisarkan kehilangan seorang kanak-kanak tersebut secara tidak langsung menerbitkan kesayuan dalam jiwanya.

Siti atau nama lengkapnya Siti Nurhaliza Tarudin berkata, Telaga Suriram arahan Osman Ali memaparkan plot menyayat perasaan, sekali gus gelodak perasaan gundah diterjemahkan menerusi lagu berjudul Sesal dengan baik.

“Walaupun tidak kerap membawakan lagu soundtrack atau OST filem saya sebenarnya berbangga apabila menjadi sebahagian daripada penterjemahan emosi sesebuah naskhah di layar perak.

Seperti Sesal, proses rakamannya tidak lama, malah penjiwaan juga sangat pantas kerana saya juga seorang ibu, jadi sedikit sebanyak memahami situasi dilalui watak emak dalam filem ini.

“Saya harap penterjemahan Sesal sampai kepada khalayak selain percaya filem genre seram dengan latar kekeluargaan ini dapat menarik penonton ke pawagam,” katanya ketika pelancaran Sesal di Pusat Dagangan Dunia (WTC), baru-baru ini.

Hadir sama adalah produser Nuansa juga pengarah Telaga Suriram, Osman Ali serta wakil rakan kolaborasi dari Odissi Creative Sdn. Bhd.

SITI bersama barisan karyawan penghasilan lagu Sesalan dan Telaga Suriram ketika majlis pelancaran yang berlangsung di ibu negara baru-baru ini.

Calon tepat

Diedarkan Universal Music Malaysia, manakala susunan muzik oleh Eddie Slam dan Mohar selaku peniup seruling, muzik video Sesal dirakamkan di Studio Kayangan bawah arahan Shuhaimi Zulkefli.

Sementara itu, Osman berkata Sesal nukilan Nurzaidi Abd. Rahman sangat tepat dijadikan lagu tema rasmi filem tersebut kerana dihasilkan sepenuhnya dengan inspirasi daripada naratif dramatik dan menyayat hati penderitaan seorang ibu mencari anak perempuannya yang hilang secara misteri.

Bukan sahaja menjadi pilihan peribadi, katanya, seluruh pasukan produksi yakin hanya Siti Nurhaliza yang mampu menyampaikan emosi berat dan penderitaan watak ibu yang merindukan anaknya melalui nyanyian sepenuh jiwa.

“Lagu Sesal bukan sahaja menyentuh tema kesedihan dan kerinduan, tetapi gambaran intensiti keganasan serta ketegangan yang menjadi nadi penceritaan.

“Melalui vokal Siti yang penuh perasaan, saya percaya lagu ini memberi kesan mendalam kepada pendengar untuk menyelami keperitan kehilangan orang tersayang,” ujarnya.

Bakal ditayangkan pada 1 Mei ini, filem berkenaan membariskan lakonan hebat Farid Kamil, Maya Karin, Ellie Suriaty, Nabila Huda, Scha Alyahya dan bintang Indonesia, Fauzi Baadilla. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok