PELAKON dan usahawan Abby Abadi menyelar segelintir individu yang menuduhnya sengaja membuka aib bekas suami, Norman Hakim berhubung isu tuntutan wang nafkah tiga anak mereka sejak bercerai.
Abby atau nama penuhnya Arbaiyah Abdul Manan, 48, berkata, dia sudah berdiam diri selama 17 tahun dan mempersoalkan bila waktu yang sesuai untuk menyuarakan hal tersebut.
“Bersuara masa cerai, kena kecam. Bersuara awal cerai pun kena kecam.
“Bersuara lepas 17 tahun pun kena kecam juga. Jadi, bila masa paling sesuai untuk bersuara ya?” katanya dalam platform Threads hari ini.

TANGKAP layar luahan kecewa terhadap netizen yang mempertikai tindakannya menuntut hak nafkah anak daripada bekas suaminya, Norman Hakim. – INSTAGRAM
Dia menegaskan semua luahan tersebut adalah bagi mendapatkan hak yang sepatutnya untuk tiga anaknya hasil perkahwinan dengan Norman iaitu Danish, Dania dan Danisha.
Selama 17 tahun saya diam, tidak menuntut apa pun dan layan sahaja.
“Sekali bila bersuara untuk dapatkan serba sedikit hak untuk anak, ada pula suara sumbang yang berkata simpanlah aib!
“Lantang sangat merosakkan dan sebagainya. Entah apa-apa sahaja. Suka nak menilai orang,” ujarnya.
Sejak beberapa hari lalu, Abby dalam media sosialnya lantang bersuara tentang isu nafkah tiga anaknya.
Dia turut mendakwa Norman mengabaikan tanggungjawab terhadap anak mereka. – HIBGLAM