PERMAINAN e-sukan mudah alih popular, Metal Slug: Awakening bakal memulakan fasa beta terbuka secara rasmi pada 22 Ogos ini bersama reka grafik terkini bagi mencetuskan impak lebih memukau.
Versi mudah alih paling dinanti-nantikan dalam sejarah, Metal Slug: Awakening bukan sahaja mengekalkan kebanyakan peta, Boss, kenderaan dan watak asal seperti Marco, Tarma dan Fio, bahkan dinaik taraf dengan grafik HD yang mempamerkan pergerakan watak nyata serta ekspresi wajah lebih realistik.
Penampilan baharu watak ikonik dalam versi baharu ini turut disertakan dengan pelbagai naik taraf senjata inovatif, bukan sekadar menerusi reka bentuk malah dari segi kekuatan serta Damage.
Antara senjata yang baharu diperkenalkan adalah Boxing Gun dan Saw Launcher.
Lebih menarik pada peringkat awal permainan Metal Slug: Awakening, komander akan melalui semula jalan cerita ikonik, World Adventure yang hampir menyerupai versi arked sebelum ini.
Bukan itu sahaja, mod kawalan diubah suai secara menyeluruh bagi membolehkan pengalaman bermain dengan lebih lancar sama seperti dulu.
Sewaktu memasuki mod pertempuran Prime Showdown PvP, secara automatik sistem permainan akan mengimbangi Damage, Armor dan Health Point (HP) setiap komander untuk disesuaikan ke tahap sama dengan komander lain.
Menerusi peta yang telah dinaik taraf pula, semua komander dapat bergabung dengan tiga watak pilihan untuk bersaing dengan pihak lawan, disamping mengawal pergerakan watak secara bebas di medan perang serta melawan Boss untuk mendaki aras lebih tinggi serta merebut pelbagai sumber bagi menambahkan daya kekuatan.
Selain mod PVP, buat pertama kali dalam sejarah, Metal Slug: Awakening turut memperkenalkan gaya permainan Roguelike iaitu Hot Pursuit yang merupakan pembaharuan inovatif diperkenalkan harta intelek legenda ini.
Bersandarkan Hot Pursuit membabitkan 10 peringkat kecil, setiap kali selesainya sesuatu peringkat, sistem permainan akan memilih secara rawak tiga daripada empat peningkatan kemahiran yang tersedia iaitu Summon, Black Hole, Barrage & Skill.
Sehingga kini Metal Slug: Awakening telah mencapai kejayaan penanda aras pra-pendaftaran dengan penyertaan lebih 2 juta komander berdaftar setakat ini.
Bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai permainan e-sukan mudah alih ini, nantikan informasi terbaharu di laman rasmi https://pre-reg.metalslugawk.vnggames.com/sgmy – HIBGLAM