TUMPANG gembira, pelakon Salina Saibi bersyukur hubungan rakan seperjuangan juga pengarah, Syamsul Yusuf dengan keluarganya kembali erat.
Pelakon drama bersiri Gerak Khas itu berkata, seluruh warga produksi milik penerbit Datuk Yusuf Haslam, Skop Prodcuction sama-sama teruja dengan penyatuan anak-beranak itu.
“Alhamdulillah, saya antara orang yang paling bahagia kerana sudah lama impikan perkara itu berlaku. Memang itu yang selalu saya impikan.
Setiap kali lepas solat, saya selalu mendoakan kesejahteraan keluarga mereka. Kita tak tahu apa yang terjadi antara Syamsul dan keluarganya.
“Apabila tahu mereka sudah bersatu kembali, satu keluarga Skop Productions sangat gembira,” katanya ketika ditemui pada majlis buka puasa Starvendors KL Mega Raya, baru-baru ini.
Pelakon yang terjun ke layar perak menerusi filem Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam sekitar 2009 di bawah arahan sutradara terbabit turut mengakui pernah menghubungi Syamsul ketika isu keluarganya diperkatakan ramai.
“Kami pun tak pernah bertemu hanya berhubung dalam media sosial sahaja sebab Syamsul pun sibuk dengan projek filem baharunya.
Sebagai kawan, ada saya hubunginya sebelum ini, namun bukan menyentuh tentang keluarga secara terus sekadar bagi bayangan sahaja.
“Bagusnya dia tidak beremosi, responnya hanya relaks dan diam. Bukan nak masuk campur, hanya tanya khabar,” ujarnya.
Salina, 43, juga rapat dengan ibu bapa Syamsul, Datin Patimah Ismail dan suaminya selepas membintangi Gerak Khas pada awal tahun 2000.
Terdahulu, rajuk Syamsul terhadap keluarganya sejak beberapa tahun lalu yang menjadi topik hangat ramai berakhir apabila dia kembali ke pangkuan keluarga.
Malah meskipun telah berpisah dengan bekas isterinya, Puteri Sarah pada Jun 2023, mereka kini menjalin hubungan baik apabila pelakon terbabit mengakui tidak kisah untuk beraya bersama jika mempunyai kesempatan. – HIBGLAM