70
Bagi menghormati kedatangan Ramadan yang mulia, festival Selangor Havoc Raya Fest 2025 hanya membenarkan penyanyi lelaki mengadakan persembahan.
Ketua Pegawai Eksekutif Havoc Event Management, Faizul Yusoff, berkata langkah itu dilakukan bertepatan hala tuju festival yang fokus terhadap kerohanian selama 108 jam bermula 21 Mac ini di Setia City Convention Centre (SCCC).
“Kali ini kita beralih kepada kerohanian. Konsert masih ada tetapi berbentuk qasidah dengan solat terawih dan qiamulail.
“Sepanjang lima hari berlangsung akan ada aktiviti 24 jam kecuali berbuka dan bersahur. Hiburan masih ada cuma tidak sama seperti dahulu.
Kita hanya bawakan artis lelaki sahaja untuk bernyanyi. Penyanyi wanita kita tidak benarkan,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.
Penganjuran tahun ini menjanjikan pengalaman membeli-belah luar biasa dengan lebih 180 booth daripada pelbagai usahawan tempatan, menawarkan pelbagai produk berkaitan persiapan raya dan makanan.
Dalam pada itu, Selangor Havoc Raya Fest 2025 juga mencatat sejarah tersendiri dengan pelancaran muzik video rasmi Havoc Raya iaitu lagu raya pertama dalam tempoh enam tahun penganjuran acara tersebut.
Lagu ini menampilkan Black Hanifah sebagai penyanyi utama, diiringi barisan artis seperti Asfan Shah, Talam, Epol, Shafiq Nizam, Syura Badron, Mira Kuku, Daud Latah, Qistina, Afif Hanif, Shajiryndan Azza Elite.
Muzik video ini dijangka menjadi salah satu tarikan utama festival dan menambah kemeriahan suasana sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.
Selangor Havoc Raya Fest 2025 bakal berlangsung pada 21 hingga 25 Mac 2025 di Setia City Convention Centre (SCCC). -HIBGLAM