Terlepas gambar isteri tidak bertudung, Nabil akui ‘terlebih rajin’

MENEPIS dakwaan kononnya tidak menutup aurat ketika berada di luar negara, isteri pelawak Nabila Ahmad, Zira Ayub mengakui foto yang mencetuskan spekulasi adalah gambar lama ketika belum bertudung.

Zira atau nama sebenar, Nazirah Ayub berkata perkongsian foto itu dalam Insta Story tidak disengajakan suaminya yang kurang mahir menggunakan media sosial.

“Sebenarnya insiden itu tidak disengajakan. Memang saya yang menjaga akaun instagram tetapi semasa bercuti di London, dia pula ‘upload’ gambar lama di destinasi sama bagi mengimbau kembali memori.

“Apabila perasan gambar saya yang belum berhijab yang rupa-rupanya dimuat naik Nabil ke Insta Story, saya terus padam serta merta. Cuma tak sangka pula jadi isu.

“Saya tahu ramai yang menyangka saya tidak lagi berhijab menerusi mesej langsung (DM),” kata  Zira ketika ditemui pada pengumuman duta Jakel Raya di Jakel Mall, hari ini.

Ditanya sebab tidak menjelaskan situasi sebenar dalam media sosial mereka, Zira memilih mendiamkan diri bagi mengelak hal jadi berpanjangan.

“Saya enggan ulas kerana bimbang muncul pula cerita lain. Cukuplah keluarga dan orang terdekat tahu itu gambar lama,” ujarnya.

Sementara itu, Nabil mengakui tidak tahu bagaimana gambar isterinya boleh dimuat naik dalam insta story kerana dia kurang mahir mengendalikan media sosial.

“Silap saya juga kerana selama ini Zira yang menguruskan instagram rasmi, cuma mungkin waktu itu saya terlebih rajin.

“Saya pun tak marahkan netizen kerana mereka tidak tahu perkara sebenar dan kami pula sedang bercuti, jadi saya enggan bebankan kepala dengan komen pengikut,” katanya.

Tambah bapa kepada tiga anak itu, selepas ini dia akan lebih berhati-hati menggunakan media sosial kerana risau anak-anak terkena tempias atas kesilapan dilakukan.

“Memang saya kena waspada, apabila tercetus situasi seumpama ini, saya risau anak-anak pula kena tempiasnya nanti,” ujarnya.

Pada November tahun lalu, Zira dilihat tidak mengenakan tudung malah hanya memakai topi berwarna hitam sambil menikmati minuman sewaktu bercuti ke London.

Situasi yang tersiar menerusi sebuah video Insta Story tersebut mengundang kutukan peminat yang melemparkan pelbagai persepsi negarif selain menyalahkan Nabil sebagai ketua keluarga.

Pasangan yang mendirikan rumah tangga pada 30 September 2011 dikurniakan tiga cahaya mata, Naira Mikayla, 13, Layla Medyna, 10, dan Mishall Imani yang kini berusia 6 tahun. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok