Kerap jadi wanita Melayu terakhir, Erysha nak jadi jahat

MAHU menjadi aktres versatil, pelakon Erysha Emyra berharap diberi peluang untuk memegang watak antagonis dalam mana-mana naskhah akan datang.

Menurut Erysha atau Nur Erysha Emyra Zakaria, 25, dia percaya imej bertudung bukan penghalang untuknya mencuba pebagai jenis watak khususnya karakter yang mengundang kebencian ramai.

“Saya selalu dapat watak perempuan Melayu terakhir, kalau boleh mahu buktikan mampu jadi pelakon versatil walaupun bertudung namun masih meletakkan limitasi.

“Memang berharap untuk cuba watak lain pada masa akan datang seperti karakter antagonis. Setakat ini tiada lagi tawaran sebegitu.

“Dalam realiti pun, bukan semua wanita itu bertudung baik. Jadi, saya nak buat orang terkejut dengan karakter jahat tetapi berhijab,” katanya kepada Kosmo! Online baru-baru ini.

Tambah anak kepada pelakon Noniswara itu, selain antagonis, dia juga berharap dapat berlakon dalam naskhah genre aksi.

“Selain antagonis, saya cuba ingin cuba watak dalamnaskhah aksi. Itu salah satu ‘wishlist’ saya. Tambahan pula karakter sebenar saya agak ‘ganas’ juga.

“Saya ingin lari daripada skeptikal orang mengatakan watak pelakon bertudung adalah terhad.

“Jika diberi peluang, memang nak cuba macam-macam jenis watak dan buktikan diri mampu jadi pelakon versatil,” jelas bintang drama Chinta Wrong Direction itu.

Terdahulu, nama Erysha meledak selepas drama Aku Bukan Ustazah mencetuskan fenomena dalam kalangan pencinta drama tempatan.  – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok