TUJUH tahun bermasam muka, akhirnya pelakon juga usahawan, Ifa Raziah dan Roslan Shah pilih untuk berdamai.
Menurut Ifa atau nama sebenarnya Saripah Raziah Mustapha, 49, hatinya pernah terluka apabila Roslan membuat laporan polis dengan mendakwanya mengupah pembunuh upahan untuk membunuh selebriti dari Singapura itu.
“Saya trauma dengan apa yang berlaku. Saya disiasat pihak polis atas dakwaan ugutan bunuh. Namun semua itu hanyalah salah faham. Dia (Roslan) cepat mempercayai orang lain yang cuba melaga-lagakan kami.
Saya terlampau sedih dan terluka dengan apa yang berlaku. Dia sudah saya anggap seperti keluarga sendiri. Tidak mudah untuk saya lupakan apa yang berlaku.
“Namun ketika ke Singapura dua minggu lalu, tiba-tiba Roslan datang kepada saya mengucapkan takziah di atas kematian adik perempuan saya dan memberikan wang sumbangan kepada anak-anak arwah. Saya tolak pada mulanya tetapi selepas difikirkan semula, sampai bila nak bermusuh? Masing-masing sudah tua. Kita pun tak tahu bila akan mati,” katanya kepada HibGlam.
Sementara itu Roslan berkata, dia sudah lama ingin bertemu dan memohon maaf kepada Ifa. Namun tidak punya kesempatan kerana masing-masing menyekat nombor telefon dan akaun media sosial masing-masing.
“Saya sering bermimpi tentang Ifa. Malah, saya berdoa di Tanah Suci Makkah sewaktu mengerjakan umrah agar Allah lembutkan hati Ifa untuk memaafkan saya. Tiga kali saya pergi umrah, tiga kali juga saya memohon doa yang sama.
Saya tidak mahu meninggal dunia tanpa bermaafan dengan Ifa. Saya mahu mati dengan tenang. Sebenarnya saya tersentuh dan terharu apabila Ifa mengucapkan takziah di atas kematian arwah ibu saya beberapa tahun lalu menerusi seorang rakan.
“Namun, pertemuan di sebuah acara di Singapura beberapa minggu lalu telah meleraikan segala sengketa di antara kami. Tujuan saya nak berdamai dengan Ifa bukanlah kerana kini dia sudah berjaya dan kaya raya tetapi mengenangkan persahabatan kami yang telah terjalin sejak 1998 lagi,” ujarnya.
Dengan terjalin semula persahabatan antara mereka, Ifa turut mengundang Roslan sebagai salah seorang pengacara rasmi untuk acara Starvendors yang akan berlangsung pada tahun hadapan di KL Base Kuala Lumpur. – HIBGLAM