KEHEBATAN pelakon Zahiril Adzim menjayakan watak Falah dalam drama Andai Tiada Dia mebuatkan ramai mendoakannya merangkul anugerah pelakon terbaik pada masa akan datang.
Menerima segala pujian dengan hati terbuka, Zahiril, 40, menegaskan dia tidak menyasarkan untuk merangkul sebarang trofi setiap kali menjayakan sesebuah naskhah mahupun watak.
“Saya bukan bekerja untuk anugerah, tak semua pelakon begitu (kejar trofi). Anugerah itu akan hadir sendiri dan ibarat bonus dalam pekerjaan.
Kalau buat pentas lakonan macam pertandingan dan mahu menjadi lebih bagus daripada orang lain, akhirnya kita akan terlalu suka pada diri sendiri atau benci bila kalau ada sesuatu yang berlaku,” katanya dalam siaran langsung TikTok baru-baru ini.
Katanya, terlalu mengejar trofi juga boleh membuatkan seseorang taasub untuk memenangi sesebuah pertandingan dan akan berasa terlalu sedih sekiranya gagal.
“Jadi, perkara itu sudah lari daripada tujuan asal dan niat dalam lakonan. Kalau menang anugerah pula, kita akan jadi terlaku suka pada diri sendiri. Jika tewas atau tidak tercalon, rasa terlalu sedih dan benci pada diri sendiri.
Jadi, jangan sesekali kejar anugerah. Buatlah untuk naskhah sahaja seperti yang saya buat untuk watak Falah. Saya berusaha beri ‘nyawa’ kepada Falah, bukan untuk anugerah,” ujarnya.
Sehingga hari ini, watak Falah berjaya mencetuskan fenomena dalam kalangan peminat drama Andai Tiada Dia yang turut dibintangi Ummi Nazeera, Hisyam Hamid, Mimi Lana dan Alicia Amin itu. – HIBGLAM