BERSYUKUR disayangi ramai, penyanyi dan pelakon Ayda Jebat mendedahkan sikap segelintir individu yang menyapanya dengan cara pelik.
Ayda atau nama sebenarnya Nur Suhada Jebat, 32, berkata, situasi yang mencetuskan pelbagai emosi itu membuatkannya sering terbungkam sendirian.
“Ragam orang lain-lain kan. Kebelakangan ini, saya asyik terkedu bila keluar.
“Ada yang tepuk bahu daripada belakang untuk bergambar. Ada yang terus depan muka ambil gambar.
“Ada makcik yang terus cium dahi, cium pipi lepas itu jalan tanpa berkata apa-apa,” kongsinya menerusi laman sosial.
Dalam hantaran sama penyanyi lagu Memerang itu turut meminta pandangan pengikutnya sama ada tindakan dilakukan peminat termasuk menciumnya sebagai normal.
Bahkan Ayda juga meminta pendapat ramai sekiranya masih berdepan situasi sama.
“Nak buat apa kalau macam ini? Okay ke tak?” ulasnya ringkas.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen memberikan pelbagai saranan bagi memastikan peminat lebih berhemah selain tidak melakukan sentuhan.
Ada pengikut yang mengesyorkan isteri kepada pengacara Nabil Mahir itu menggunakan khidmat pengawal peribadi demi menjaga keselamatan diri dan keluarga.
“Upah ‘bodyguard’ untuk keselamatan kerana bukan semua orang beradab,” kata netizen.
“Kasihan Ayda, dia pun mahu hidup macam orang biasa. Apa salahnya guna bahasa elok,” tulis seorang pengikutnya.
“Kalau tegur mesti Ayda pula dimarah. Kenalah hormat privasi. Bawa ‘bodyguard’ dikata pula mengada,” ujar pemilik akaun lain.
Sepanjang berada dalam industri seni bermula pada 2011, ibu kepada dua anak itu antara selebriti yang mudah didekati serta mesra menyantuni peminat. – HIBGLAM