Anak gembira, tak pernah tanya soalan ‘pelik’ – Adira

ENGGAN perceraian dengan bekas suami, Datuk Red memberi kesan terhadap keluarga, penyanyi Adira memilih tidak membincangkan perkara itu dengan anak-anak.

Adira atau nama sebenarnya Siti Adira Suhaimi berkata, empat cahaya mata mereka sudah biasa dengan rutin bapa jarang berada di rumah, justeru perpisahan itu tidak mengubah suasana.

Saya memang tak berbual dengan anak mengenainya (perceraian) sebab sebelum ini, ayah mereka selang sehari tiada jadi mereka dah biasa.

“Apa yang saya usahakan sekarang adalah supaya mereka tak rasa kosong.

Macam mana sekali pun situasi, saya akan mengisi ruang yang ada dengan mereka,” katanya dalam sesi bersama Usanita.

Sembang santai yang turut disertai pengacara, Awal Ashaari itu mengupas mengenai penerimaan anak-anak terhadap perceraian Adira dan Datuk Red atau Datuk Seri Adnan Abu sejak tujuh bulan lalu.

Menurut selebriti asal Sabah itu, sehingga kini permata hatinya belum pernah mengajukan pertanyaan berhubung statusnya dengan bekas suami.

Alhamdulillah, setakat ini belum ada soalan pelik-pelik daripada mereka,” ujarnya.

Bahkan akui Adira, sikap Datuk Red yang memenuhi tanggungjawab dengan kerap menjenguk anak-anak membuatkan mereka tidak terasa sebarang perubahan.

Ayah dia pun rajin datang tengok. Kadangkala ayah mereka pun datang buat ‘live’ dari rumah, jadi mereka gembira,” ujarnya.

Adira dan Datuk Red bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat, Kuang, Selangor pada 24 April 2024  selepas sembilan tahun bergelar suami isteri.

Begitupun, selepas itu penyanyi terbabit menzahirkan perancangan untuk kembali bersama lelaki terbabit namun sehingga kini belum menampakkan tanda ke arah itu.

Terdahulu, pasangan terbabit bernikah di Songkhla, Thailand pada 3 Disember 2015 dan dikurniakan empat cahaya mata iaitu Anggrek, 7, Asan, 6, Anggun, 5 dan Ayob yang kini berusia dua tahun. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok