THE College Scholastic Ability Test (CSAT) atau lebih dikenali sebagai ‘su-neung’ adalah peperiksaan wajib bagi setiap pelajar sekolah menengah di Korea Selatan yang ingin memasuki universiti.
Bagaimanapun, sudah menjadi trend dalam kalangan selebriti K-pop untuk tidak mengambil peperiksaan CSAT.
Malah, rata-rata idola ramai yang tidak mengambil CSAT juga membuktikan mereka boleh berjaya dengan cara lain. Daebak kali ini membawakan beberapa bintang yang mampu berjaya walaupun tidak menduduki peperiksaan penting bagi setiap pelajar di negara kimchi itu.
IU
BAGI memberi tumpuan terhadap kerjaya seni, penyanyi IU mengakui tidak mengambil peperiksaan CSAT seperti rakan sebaya yang lain.
Dalam masa sama, dia memaklumkan akan memasuki universiti apabila sampai masanya nanti
Disebabkan meraih kejayaan selepas debut pada usia 15 tahun, dia mengakui belum bersedia menduduki peperiksaan CSAT.
Jungkook
SATU-SATUNYA kumbang dalam senarai, penyanyi Jungkook merupakan antara idola K-pop yang tidak mengambil peperiksaan kemasukan universiti itu.
Pun begitu, pemilik nama lengkap Jeon Jung-kook itu mendaftarkan diri di Global Cyber University dan lulus dengan ijazah sarjana muda dalam bidang penyiaran dan hiburan.
Tidak hanya itu, Jungkook juga meraih Anugerah Presiden iaitu pengiktirafan tertinggi yang diberikan kepada graduan.
Suzy
PELAKON Suzy juga tersenarai dalam bintang Korea Selatan yang tidak menduduki peperiksaan CSAT.
Dalam sebuah temu bual, Suzy atau nama sebenarnya Bae Su-ji, 30, mendedahkan alasan tidak menduduki peperiksaan CSAT kerana sibuk dengan promosi bersama kumpulan Miss A.
Dia juga berasakan tidak dapat memenuhi tanggungjawab sebagai pelajar kerana terlalu sibuk memenuhi jadual artis dan persembahan.
BoA
SAMA seperti IU, penyanyi BoA secara terbuka menolak menduduki peperiksaan tersebut bagi memberi tumpuan kepada kerjaya seni yang sedang memuncak.
Pemilik nama lengkap Kwon Bo-ah itu memulakan debut pada usianya 13 tahun dalam bidang nyanyian.
Lima tahun selepas kemunculan dalam industri muzik, BoA sepatutnya harus menduduki peperiksaan CSAT tetapi tetap
mahu fokus dahulu terhadap karier seninya. – HIBGLAM