Tak pernah rasa selamat, bagai ‘terapung’ – Aina Abdul

DALAM industri ini, saya tidak pernah rasa selamat.”

Demikian kata penyanyi Aina Abdul meski sudah sedekad mencipta nama dalam industri hiburan tanah air selain menggenggam trofi Bintang Paling Popular.

Tidak mudah, Aina atau nama sebenarnya Nurul Aina Abdul Ghani, 31, berkata, kembara seninya penuh berliku termasuk empat tahun bergelut untuk meraih perhatian.

“Saya tak pernah rasa karier dan kedudukan saya stabil. Kadang-kadang, saya rasa macam terapung, tak berpijak di tanah.

Susah untuk saya rasa kukuh. Jadi, saya tak pernah letakkan harapan terlalu tinggi. Tapi saya beritahu peminat, kalau nama saya dicalonkan dalam anugerah yang memerlukan undian, terserah mereka. Undi atau tidak saya tetap sayang mereka.

“Kalau ada masa nak undi, buatlah. Kalau tak undi pun tak apa. Tak bermaksud saya tidak sayang mereka (peminat) sebab tak undi. Saya tak nak ada perubahan perasaan terhadap peminat. Bagi saya, biar tetap sama,” katanya.

Pelantun lagu Puas Sudah yang pernah mendapat bimbingan Ella dalam program Mentor Legend pada 2014 dan muncul sebagai naib juara itu mengakui kejayaan diraih tidak menjamin laluan mudah dalam industri seni.

Program itu membantu saya dikenali tapi permainan sebenar adalah selepasnya. Saya pernah melalui tempoh langsung tiada tawaran menyanyi.

“Saya pernah tidak ada ‘job’ jadi saya beritahu kepada ibu saya mahu menyambung pengajian ijazah muzik kerana menimba ilmu tetap penting,” jelasnya.

Tambah pemenang Anugerah Juara Lagu ke-37 (AJL37) itu lagi, nasibnya mula berubah pada penghujung 2018 menerusi kejayaan lagu Sumpah yang membuka ruang lebih besar dalam kariernya.

Pun begitu, proses tersebut juga terlalu kompleks apabila Aina berdepan cabaran besar dalam mencipta lagu bahasa Melayu.

“Saya meneruskan pengajian ijazah di universiti swasta dikelilingi rakan yang bertutur dalam bahasa Inggeris dan lagu-lagu kami pun dalam bahasa itu. Jadi, bila Zizi (pengurus) minta saya buat lagu Melayu, saya takut dan bimbang tak menjadi.

Tapi dengan sokongan, saya cuba juga dan syukur lagu itu membawa saya ke pentas AJL34 walaupun persembahannya dikritik hebat kerana dianggap membawa mesej bunuh diri,” dedahnya.

Bagaimanapun, paling penting kata Aina, sokongan peminat iaitu Ainations menjadi nadi kejayaannya selain menyedari perjalanan sebagai anak seni sentiasa memerlukan usaha berterusan. – KOSMO! ONLINE.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok