After Race Fest tetap meriah tanpa Macklemore

CUKUP dengan barisan penyanyi dan band sedia ada, konsert After Race Fest di Sepang yang menyaksikan pengunduran artis antarabangsa, Macklemore pada saat akhir tetap berlangsung meriah.

Walaupun ada dalam kalangan peminat meluahkan kekecewaan dengan ketiadaan pemenang Grammy asal Amerika Syarikat itu di laman sosial, persembahan mega selepas perlumbaan MotoGP Malaysia minggu  lalu itu tetap menghiburkan.

Aksi luar biasa

Bukan hanya barisan artis tempatan, penyanyi undangan dari seberang, Nidji serta band rock Amerika Syarikat, Smash Mouth yang menjadi penutup fiesta menonjolkan aksi luar biasa.

Pentas gah di Helipad, Petronas Sepang International Circuit yang dilengkapi skrin gergasi di kiri kanan menggandakan lagi keterujaan lebih 1,000 penonton.

Bermula seawal 5 petang sebaik sahaja MotoGP berakhir, fiesta muzik itu dipanaskan persembahan Gard Wuzgut yang penuh energetik sebelum De Fam mengambil alih ruang.

Tiga penyanyi wanita terbabit menakluk ruang terbuka itu dengan mempersembahkan seleksi hits Supergirl dan Panas selain lagu baharu berjudul Anak Raja.

Kemunculan 6ixth Sense selepas itu terus menaikkan momentum persembahan apabila tampil dengan enam lagu termasuk Wajah Cinta Mati, Flower dan Yang Sempurnakanku.

Umpama mengimbau nostalgia, kumpulan tersebut membawa fokus penonton ke tengah pentas sambil berdendang bersama mereka.

Menyusul selepas itu adalah band popular Indonesia, Nidji yang tampak teruja beraksi di hadapan penyokong setia.

Mempunyai peminat tegar, band yang genap 20 tahun dalam industri muzik itu membuai kalbu ramai dengan seleksi popular yang mesra di telinga.

Bagai sebuah mini showcase, mereka menyampaikan tujuh lagu iaitu Disco Lazy Time, Biarlah, Sumpah & Cinta Mati serta Laskar Pelangi yang membuatkan penonton bergoyang.

After Race Fest anjuran HIFIVE Entertainment juga rakan strategik Petronas Sepang International Circuit terus membahang dengan barisan penyanyi hebat pada sebelah malamnya.

Tepat pukul 8.30 malam, penyanyi rap Joe Flizzow pula mendominasi ruang acara ditemani SonaOne sekali gus meraih sorakan penonton.

Bagai magnet, penampilan artis yang mendapat gelaran The President itu seolah-olah sebagai penarik apabila venue konsert semakin dipenuhi orang ramai.

Variasi genre

Rata-rata peminat yang datang merupakan gen Z dan penonton tampak ‘dirasuk’ sepanjang hampir setengah jam Joe mendominasi pentas. 

Paling ditunggu-tunggu adalah ratu rock Ella yang menjadi antara penghibur terakhir pada malam tersebut sebelum band dari Amerika Syarikat, Smash Mouth menjadi penutup tirai.

Penuh energetik, sorakan padu bergema sebaik penghibur kesayangan ramai itu mendendangkan Permata Biru disusuli Kitalah Bintang, Pengemis Cinta, Sepi Sekuntum Mawar Merah, Sembilu dan Kembara Kita sebelum mengakhiri persembahan dengan Standing In the Eyes of the World.

Smash Mouth menyampaikan Crawl, Can’t Get Enough, Morning, Getaway Car, Hot, Ride On, Walking, Road Man dan I am Believer.

Sebagai rumusan, gabungan variasi genre muzik dalam konsert berkenaan menyuntik kepelbagaian yang menjadi bonus buat pendengar.

Tanpa Macklemore pun sambutan peminat tetap meriah sekali gus mencapai matlamat menyajikan hiburan selepas perlumbaan motosikal.

Ternyata, peminat pulang dengan kepuasan walau perlu membayar parkir setara kadar valet berjumlah RM30 dan terpaksa menapak jauh untuk ke helipad terbabit. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok