MEMBERI bayangan terhadap situasi dilalui, penyanyi Kaka Azraff memohon doa agar dikurniakan ketenangan dalam mengharungi setiap keadaan susulan khabar perceraiannya yang tular Isnin lalu.
Kaka atau nama sebenar Nor Atiqa Noor Azraff, 35, berkata dia dan suaminya, Adam Azriff berterima kasih atas keprihatinan ramai terhadap keluarga mereka.
“Salam, terima kasih atas keprihatinan semua atas keadaan saya, Adam dan keluarga.
“Mohon doa semua, semoga beroleh tenang atas apa yang telah dilalui,” katanya menerusi perkongsian dalam Instagram.
Katanya, mereka juga berharap dapat diberikan privasi memandangkan fokus sekarang lebih kepada kesejahteraan anak-anak.
“Kami mohon ruang untuk bersama tiga cahaya mata kecil yang perlukan banyak perhatian, anak-anak adalah fokus utama kami,” ujarnya.
Menerusi hantaran sama, penyanyi lagu Bukan Hal Aku itu turut memohon maaf andai dia dan Adam belum membalas sebarang panggilan atau mesej.
“Maaf sekiranya Kaka dan Adam tidak dapat dihubungi untuk menjawab pelbagai pertanyaan anda. Salam sayang,” tulisnya lagi.
Sebelum ini, HibGlaM lebih dahulu menerima maklum balas Kaka berhubung dakwaan khabar perceraian mereka pada Isnin lalu.
Dalam balasan mesej menerusi Whatsapp itu, dia meminta diberikan ruang ketika berdepan kontroversi cerai seperti dilaporkan HibGlam.
Anak saudara kepada ratu rock Ella itu memilih untuk tidak mengeluarkan sebarang kenyataan tentang perkara tersebut.
Difahamkan, dia dan Adam, 30, melakukan lafaz cerai secara ekspres di Mahkamah Rendah Syariah, Shah Alam, Selangor.
Kaka dan Adam mendirikan rumah tangga pada 14 Disember 2018 dan perkongsian hidup mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Aslan, 5, dan Aryan, 3, dan Atta Adam yang kini berusia 15 bulan. – HIBGLAM