Ezuwan Ismail tak goyang busana Miss Universe Malaysia dikeji

PEREKA fesyen terkenal, Ezuwan Ismail berlapang dada menerima segala kritikan membabitkan rekaan busana untuk Miss Universe Malaysia 2024, Sandra Lim.

Ezuwan diberi mandat untuk menyiapkan tiga busana yang dianggarkan bernilai RM150,00 termasuklah kostum nasional untuk diperagakan wakil Malaysia di pentas Miss Universe 2024 yang akan berlangsung di Mexico pada November depan.

Disebalik pujian yang diterima mengenai rekaannya, ada juga pihak yang mencerca terutama rekaan kostum nasional bertemakan Puteri Walinong Sari.

“Bila kita dedahkan busana yang akan dipakai oleh ratu kita dalam sidang media baru-baru ini ada yang gembira ada juga sebaliknya.

Tetapi hal ini adalah perkara biasa. Setiap tahun pun akan ada pihak yang tidak berpuas hati dengan rekaan yang disediakan pereka fesyen untuk ratu kita.

“Saya telah cuba buat yang terbaik walaupun diberi masa yang singkat iaitu lebih kurang sebulan sahaja untuk siapkan tiga busana. Saya tiada masalah dengan kritikan. Bagi saya ini adalah lumrah,” katanya kepada HibGlam.

Pereka fesyen yang berasal dari Kelantan itu turut menyangkal dakwaan kononnya dia hanya syok sendiri sebaliknya idea untuk menyiapkan busana  tersebut adalah dari kedua belah pihak.

Sebelum memulakan rekaan sudah tentu saya bertanya pada Sandra sendiri apa yang dia inginkan termasuklah warna busana-busana tersebut.

“Untuk rekaan kostum nasional kita memilih Puteri Walinong Sari kerana busana bertemakan puteri dari Pahang itu belum pernah diangkat di pentas Miss Universe.

Kalau ikutkan, Sandra mahu potongan kostum tersebut seperti bikini kerana dia ingin tunjuk kakinya.

“Tetapi bila difikirkan semula, saya rasa tidak sesuai untuk rekaan sebegitu terutamanya apabila kita menggunakan fabrik songket. Nanti lagi teruk saya kena kecam. Jadi saya kemukakan idea untuk buat seluar dan dipersetujui,” kongsinya.

Bagi rekaan gaun petang pula, Ezuwan berkata, setiap perincian pada busana tersebut dijahit sendiri satu persatu.

“Saya bukan pereka fesyen yang suka beli renda dan tampal pada baju. Saya akan jahit sendiri satu persatu.

Tema gaun petang adalah ‘reach to the star’. Jadi setiap perincian sarat dengan bintang-bintang.

“Ada yang bertanya kenapa kita tak gunakan kain net warna kulit, sebenarnya memang kita nak gunakan kain net rona krim,” ujarnya.

Ezuwan juga memohon agar peminat Sandra bersabar dan tidak perlu risau kerana dia telah menyediakan gaun rahsia yang disifatkan lebih gah dan mempunyai aura tersendiri. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok