BEKAS vokalis band heavy metal popular dunia Iron Maiden, Paul Di’Anno, meninggal dunia pada usia 66 tahun di Salisbury, England, semalam.
Khabar duka itu dikongsikan syarikat rakaman Conquest Music menerusi hantaran dalam media sosial mereka.
Begitupun, pihak terbabit tidak memperincikan butiran lanjut pemergian mendiang Di’Anno termasuk punca kematiannya.
Conquest Music hanya menyebut Di’Anno atau nama sebenarnya, Paul Andrews menghembuskan nafas terakhir di kediamannya dalam keadaan tenang.
Di’Anno meraih kemasyhuran ketika menyertai Iron Maiden pada 1978 dengan kejayaan album debut menggunakan nama band itu sebagai judul pada 1980 disusuli album kedua, Killers setahun kemudian.
Berikutan isu peribadi, beliau mengambil keputusan keluar dari kumpulan tersebut selepas pelancaran Killers, manakala posisinya digantikan Bruce Dickinson.
Selepas meninggalkan Iron Maiden, Di’Anno menganggotai beberapa band lain seperti Battlezone dan Killers selain aktif sebagai penyanyi solo.
Pernah mengakui obses berhibur sehingga menjejaskan imej dirinya dan kredibiliti Iron Maiden, mendiang tidak pernah menyalahkan rakan lain atas keputusan diambil.
“Saya tidak mampu memberi komitmen 100 peratus lagi untuk Iron Maiden ketika itu. Jadi, tidak adil untuk mereka, peminat dan diri saya juga,” katanya dalam satu temu bual.
Sejak beberapa tahun lalu, Di’Anno berdepan masalah kesihatan, namun masih mampu mengadakan persembahan walaupun berkerusi roda.
Bersandarkan semakan, sehingga tahun lalu mendiang menjayakan lebih 100 persembahan pentas ketika hayatnya. – HIBGLAM