GAGAL mempertahankan kemenangan sebagai Pengacara TV Popular di Anugerah Bintang Popular ke-36 (ABP36), artis versatil, Elly Mazlein menerima kekalahan itu dengan hati terbuka.
Malah Elly atau nama sebenarnya Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi, 44, turut berkongsi sebuah video dalam akaun Instagram mengirimkan ucapan tahniah buat pemenang tahun ini iaitu Uyaina Arshad.
“Akak kalah dik. Disebabkan akak kalah, akak order (pesan) ikan siakap tiga rasa.
Tahniah untuk Uyaina. Terus menghasilkan karya yang hebat.
“Tahniah juga kepada mereka yang kalah seperti Izzue Islam, Raja Azura, Anim Ezzati dan Elly Mazlein. Tahun depan cuba lagi okey,” katanya.
Sementara itu di bahagian komen hantaran tersebut, ramai netizen terhibur dengan video ucapan Elly yang dirakam di kedai makan.
Mereka juga memberikan kata-kata semangat untuknya agar tidak berputus asa dan teruskan memberi yang terbaik dalam bidang pengacaraan.
Dalam tengah bersedih tetap ada kelakar. Apa-apa pun sentiasa bangga dan sentiasa sokong kamu,” komen salah seorang netizen.
Elly tidak hadir ke malam kemuncak ABP36 yang berlangsung di Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) kerana terlibat dengan sesi raptai konsert Kilauan Emas.
Tahun lalu Elly berjaya meraih anugerah pertamanya di ABP bagi kategori Pengacara TV Popular selepas 25 tahun bergelar anak seni. – HIBGLAM