Syukur, terharu dan beremosi.
Itu perasaan bercampur-campur pelakon Rita Rudaini yang berdepan pengalaman mengurus dan menjaga anak sulungnya sepanjang mendapat rawatan di sebuah hospital swasta di ibu negara akibat patah tangan sekitar seminggu lalu.
Paling terkesan di hati ibu tunggal itu apabila dia terpaksa menanggung sendiri kos perubatan Airit Rayyan Rizqin akibat masalah pelan insuran.
Kata Rita atau nama sebenarnya, Rita Rudaini Mokhtar, 48, pelan insurans Ryan yang sudah didaftarkan sejak kecil sudah tidak boleh digunakan kerana tamat tempoh selepas bapanya, Aidil Zafuan berhenti membuat pembayaran sejak 13 tahun lalu.
“Kos rawatan Ryan dari mula patah tangan sampailah buka simen, mommy tanggung sendiri bukan insurans.
“Sebelum ini Ryan ada insurans dari bayi tetapi mommy tidak pernah guna sebab mommy tak pegang.
Insurans tersebut rupa-rupanya sudah luput hampir 13 tahun sebab pembayarnya sudah berhenti membayar,” katanya menerusi hantaran Instagram.
Bagaimanapun, pelakon Mami Jarum itu pernah berusaha membuka akaun baharu tetapi gagal apabila Aidil yang juga pemain bola sepak negara itu enggan menurunkan tanda tangan bagi menutup akaun insurans lama.
“Sebelum ini mommy ada ambil yang lain tetapi dah luput semasa perintah kawalan pergerakan (PKP) dan selepas itu mommy memutuskan nak buat baru.
Dengan syarat akaun yang luput 13 tahun kena tutup dahulu. Malangnya, manusia yang buka akaun tersebut tidak mahu bagi kerjasama tanda tangan tutup akaun walaupun ‘tanda tangan tersebut percuma’.
“Jadi, tidak dapatlah mommy nak ambil insurans sama syarikat dengan mommy dan adik,” jelasnya.
Dalam masa sama, ramai yang kagum dengan sikap anak bujang Rita yang tetap menunaikan solat walaupun ketika terlantar di hospital.
Bagus ya, solat tidak tinggal walaupun dalam keadaan begitu. Anak soleh ibu dunia dan akhirat,” kata peminat.
“Bagusnya dalam sakit (tetap) jaga solat. Syurga buat mak dan anak-anak ini, insya-Allah,” ujar pengikut.
Rita pernah berkahwin dengan pemain bola sepak, Aidil Zafuan Abdul Radzak pada 2008, namun bercerai pada September 2013.
Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan dua orang cahaya mata lelaki iaitu Airit Rayyan Rizqin dan Airit Qaqa Arjuna.
Sebelum ini aktres tersebut mendakwa bekas suaminya pernah culas menghulurkan nafkah buat dua putera mereka selain nilai nafkah yang diberikan tidak mampu untuk membayar yuran sekolah anak-anak. – HIBGLAM