KETUA kumpulan yang juga pemain gitar kumpulan Barbarik, JoBranko menegaskan dakwaan harga terlalu tinggi bukan punca utama pihaknya menolak tawaran menyertai konsert Rock Warrior Music Festival (RWMF) di KL Base, Sungai Besi pada 23 dan 24 November depan.
Malah, Jo atau nama sebenarnya, Abdul Zamin Abdul Kadir, 55, berkata, keputusan tersebut tidak dipengaruhi isu peribadi sebaliknya melibatkankan perbincangan antara pihak penganjur dan pengurusan.
“Saya ingin menegaskan bahawa soal harga yang dibincangkan adalah perkara biasa dalam mana-mana urusan profesional, termasuk dalam industri muzik.
Setiap artis, termasuk Barbarik mempunyai hak untuk meletakkan nilai yang sesuai berdasarkan pengalaman, bakat, dan reputasi.
“Artis lain juga mempunyai nilai yang pada pandangan mereka bersesuaian dengan reputasi dan harga pasaran,” katanya ketika ditemui dalam majlis Perlantikan Duta Gibson di sini, hari ini.
Dalam pada itu JoBranko turut turut menafikan penolakan tersebut atas dasar memutuskan hubungan silaturahim sesama rakan artis.
“Silaturahim perlu dilakukan dengan tulus dan ikhlas. Jika benar untuk bersilaturahim, cara terbaik adalah dengan pendekatan peribadi seperti menghubungi secara terus dan bukan melalui tawaran komersial seperti konsert.
Kami yang pernah bersama-sama dalam industri muzik bertahun-tahun melalui Wings mempunyai banyak ruang untuk bertemu dan berbincang secara baik tanpa perlu melibatkan acara umum.
“Mengeluarkan kenyataan yang jelas mengelirukan sebenarnya bukan untuk memulihkan hubungan silaturahim tapi kelihatan mempunyai niat yang tidak baik,” katanya.
JoBranko bagaimanapun terterima kasih kepada pihak penganjur kerana yang berusaha merealisasikan konsert tersebut.
“Saya menghormati usaha yang dilakukan pihak penganjur untuk membantu industri muzik tempatan.
Namun, penting untuk setiap pihak dalam urusan profesional ini bersikap adil dan terbuka, termasuk menghormati nilai dan syarat yang telah ditetapkan oleh artis,” katanya.
Sebelum ini penyanyi Wings Datuk Awie memaklumkan JoBranko menolak tawaran diajukan rakan kongsinya dalam Rumah Produksi Merah (RPM) iaitu Datuk Eddy Amir Salim menyertai konsert Rock Warrior Music Festival (RWMF). – HIBGLAM