‘Ada tawaran filem tetapi kena buka tudung’

LAMA sebenarnya khalayak tidak melihat kelibat pelakon jelita Jue Aziz yang seperti menyepi daripada radar industri seni tanah air sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Lebih dua dekad sejak awal pembabitannya sekitar tahun 2000 lalu dalam industri seni sehingga kini dengan deretan drama dan filem hits dibintanginya, hampir mustahil figura ayu manis itu tidak dikenali khalayak.

Berpeluang bertemu empat mata dengan aktres putih gebu itu, penulis sempat bertanyakan tentang perkembangan terkininya dan atas alasan apa dia menghilang sebegitu lama.

Mengakui terdapat pasang surut dalam karier seni, Jue berkata, sukar untuk mendapat tawaran yang mengena dan sesuai di jiwanya apatah lagi dengan imejnya yang berhijab.

Pun begitu, Jue mendedahkan pernah diajukan tawaran lumayan membintangi sebuah filem epik terbitan produksi tempatan dengan syarat membuka tudung demi kesesuaian era filem itu.

Meskipun disuakan bayaran tinggi, Jue atau nama sebenarnya Zuliana Abdul Aziz nekad menolak tawaran tersebut selepas usahanya meminta budi bicara agar mengekalkan imej berhijab tidak diterima.

Lebih teruk aktres berusia 41 tahun itu mengakui terkejut apabila mendakwa produksi berkenaan mendapatkan pandangan seorang ustaz yang membenarkan perkara itu dilakukan demi memberikan jalan cerita sebenar mengenai sejarah.

Saya ada dapat tawaran cerita mengenai sejarah, namun kena buka tudung. Dia nak bagi bayaran tinggi sebab mahukan saya. Saya memang nak tapi terpaksa tolak sebab syarat melampau itu.

“Saya terkejut ada ustaz di situ yang kata boleh buka tudung sebab cerita berkenaan mengetengahkan mengenai sejarah. Katanya tidak mengapa untuk buat benda itu. Saya pelik sangat.

“Masa itu saya agak terdesak sebab tiada apa-apa tawaran. Apabila dapat filem genre sejarah pula, mestilah saya nak. Tapi fikir balik, kalau terima pun, nikmat sekejap sahaja. Aib dan maruah tergadai, orang tak hormat tindakan itu,” katanya kepada Pose.

Pelakon filem Hantu Bonceng itu juga meluahkan rasa sedih apabila bakat pelakon wanita yang mengenakan hijab tidak dipandang dan diketengahkan beberapa produksi.

Saya sangat sedih sebab kita ini Malaysia. Ramai orang Islam. Tapi peluang untuk pelakon bertudung disekat, tidak boleh berlakon banyak karakter.

“Kenapa pasaran untuk artis bertudung dihadkan? Tak semestinya yang bertudung tak boleh berlakon macam-macam karakter. Sedihlah,” ujarnya.

Jue kini sedang mempromosikan filem baharu dibintangi berjudul Miftah Alam arahan Mohamad Aidil Azhar yang sudah menemui penonton sejak 19 September lalu.

Selain Jue, naskhah seram komedi itu turut dibintangi Zera Hafiz, Taiyuddin Bakar, Mubarak Majid, Ruminah Sidek dan Adam Corrie. 

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok