Pergaduhan adalah pilihan terakhir – Hun Haqeem

NAMPAKNYA kemelut antara pelakon Hun Haqeem dan bekas syarikat pengurusannya Metrowealth International Group (MIG) masih belum selesai.

Hun atau nama sebenarnya, Haqeem Hermy, 26, disaman MIG kerana pelanggaran kontrak pada 2021 dan pada Februari lalu mahkamah memintanya membayar ganti rugi sebanyak RM600,000 kepada syarikat berkenaan

Ditanya apakah status terkini isu panas tersebut, Hun hanya tersenyum dan berkata: “Tiada kesudahan lagi. Diharap akan diselesaikan secepat mungkin.”

Sungguhpun begitu, Hun mengakui hubungannya dengan Pengarah Urusan MIG, David Teo dalam keadaan baik dan mereka sering bertemu dalam pelbagai acara hiburan.

“Saya sentiasa mengharapkan perkara yang baik. Saya percaya setiap orang yang dihadirkan dalam kehidupan kita ada sebabnya. Tambahan industri seni di Malaysia sangat kecil, pusing-pusing akan jumpa orang yg sama juga,” tutur Hun.

Bintang yang popular dengan drama Kampung People itu bagaimanapun mengakui kes saman tersebut sedikit sebanyak telah menjejaskan dan memberi kesan negatif terhadap karier seninya.

“Dalam tempoh empat tahun naik turun mahkamah, siapa yang tahan. Pada tahun pertama kes saman itu adalah waktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebab Covid-19.

“Bayangkan dua tahun saya hanya mampu termenung di rumah dalam masa sama fikir apa yang boleh saya lakukan.

“Saya percaya tidak melakukan sebarang kesalahan kerana sentiasa ikhlas dalam setiap apa yang dilakukan. Jadi, saya biarkan mereka yang lebih arif untuk menentukan,” kata Hun.

MISI Hun Haqeem membuka gim adalah untuk mewujudkan lebih ramai komuniti sihat di Malaysia.

Jelas Hun, sejujurnya dia mahu menyelesaikan kemelut yang melanda secepat mungkin agar boleh memberi tumpuan terhadap karier.

“Pihak saya sentiasa memberi kerjasama. Siapa yang tidak mahu selesaikan dengan cepat, tetapi bukan saya yang menyaman.

 “Apa sahaja perbalahan yang berlaku, pergaduhan adalah pilihan yang terakhir. Sebagai artis saya perlu tunjukkan contoh yang baik kepada peminat.

“Jadi, apabila keluar berita seperti ini (disaman), peminat lihat pun tidak seronok. Bertemu muka untuk selesaikan satu isu adalah perkara yang bagus, tetapi saya akan elakkan perbalahan dan pergaduhan selagi boleh,” akui Hun.

Lagak ngeri

Beralih ke arah bicara karier, Hun yang meminati seni bela diri mengakui sering melakukan aksi lagak ngeri sendiri dalam setiap drama dan filem lakonannya.

Namun tegas Hun, andai aksi yang perlu dilakukan terlalu bahaya barulah dia akan menggunakan khidmat pelakon lagak ngeri.

“Selalunya saya buat aksi lagak ngeri sendiri walaupun sukar, paling penting saya perlu ada tanggungjawab menjaga kesihatan dan keselamatan.

“Memang betul pelakon perlu ada asas seni bela diri untuk melakukan ‘stunt’ untuk mengelakkan daripada kemalangan di set penggambaran.

“Jika ada asas seni bela diri, pelakon akan tahu bagaimana cara untuk jatuh dengan selamat dan tidak berlaku pukulan di muka yang menyebabkan lebam atau kecederaan sehingga menjejaskan penggambaran,” katanya.

Tambah Hun lagi, tidak rugi jika seseorang pelakon menuntut ilmu seni bela diri dan mampu melakukan aksi lagak ngeri sendiri.

“Jika pelakon ada ilmu seni bela diri dan mampu melakonkan sendiri aksi lagak negeri, itu adalah satu bonus.

“Perkara itu secara  tidak langsung menjadi aset dan membezakan pelakon itu dengan pelakon yang lain,” ujar Hun yang bakal muncul dengan drama From Saga With Love 2 menerusi saluran Viu pada Oktober ini dan filem Game Of Life arahan Syafiq Yusof pada tahun depan.

Dalam perkembangan terbaharu, Hun baru sahaja membuka cawangan ketiga gim Elitez MMA yang dikongsi bersama beberapa orang rakan termasuk aktor Andy Teh.

Kongsi Hun, dia terpanggil membuka gim selepas mengalami kecederaan anterior cruuciate ligament (ACL) pada lutut tahun lalu.

Misi komuniti sihat

HUN Haqeem membuka perniagaan baharu iaitu gim Elitez MMA yang terletak di Plaza Mont Kiara, Kuala Lumpur bersama beberapa orang rakan termasuk pelakon Andy Teh.

Pengalaman memiliki berat badan melebihi 100 kilogram (kg) sebelum bergelar pelakon juga membulatkan tekadnya melahirkan komuniti sihat.

“Tidak sangka, tidak sampai setahun alami kecederaan ACL, kini saya sudah mampu berjalan dan menendang semuanya kerana senaman yang dilakukan bersama Elitez selain sesi fisioterapi.

“Ketika berlakon drama W: Two Worlds saya perlu mendapatkan badan yang cantik. Ketika itu berat badan saya adalah 84 kg. Dalam tempoh sebulan saya berjaya turunkan berat badan sehingga 68kg.

“Saya dapat capai berat badan yang ideal dalam tempoh yang cepat kerana senaman dilakukan bersama rakan dan komuniti. Jika saya terasa ingin putus asa ada orang yang akan beri semangat,” terang Hun.

Sambung Hun, misinya membuka gim tersebut bukanlah sebagai jaminan untuk masa depan semata-mata, sebaliknya dia mahu melahirkan lebih ramai komuniti sihat.

“Makanan di Malaysia semuanya sedap (ketawa), jadi sukar untuk kita kawal pemakanan. Tetapi jika kita dikelilingi komuniti yang mempunyai misi yang sama iaitu sihat dan fit, kita akan kekal berada di landasan yang betul.

“Kami akan berbincang untuk mengadakan pertandingan MMA dalam kalangan selebriti seperti mana artis Indonesia lakukan.

“Secara tidak langsung akan mempromosikan gaya hidup sihat kepada kelompok yang lebih besar,” jelasnya lagi. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok