PENYANYI Noraniza Idris mengakui jualan tiket konsert Qalam Noraniza Idris terjejas selama tiga hari gara-gara kontroversi pengarah persembahan dan penulis skrip menarik diri.
Menurut Ratu Irama Malaysia itu, selain jualan tiket terjejas, dia turut berdepan kecaman negatif dalam media sosial.
“Reputasi saya tercalar apabila isu ini disebarkan malah jualan tiket konsert terjejas selama tiga hari.
“Orang tuduh saya jahat. Agak teruk juga makian dan kecaman yang diterima ketika saya bersiaran langsung dalam TikTok. Orang yang hormat kita terus berubah sikap mereka.
“Kalau ikutkan hati, memang saya ingin maafkan sahaja. Tetapi jika saya terus berdiam, orang akan berulang kali ambil kesempatan.
“Saya sedang berbincang dengan keluarga tentang isu ini, jadi tunggu sahajalah,” ujarnya yang ditemui selepas sidang akhbar program Keretapi Sarong, sebentar tadi.
Nama Noraniza, 56, sebelum ini panas susulan timbul dakwaan dia memecat Anwar Rusdini yang bertindak sebagai pengarah persembahan dan penulis skrip konsert Qalam Noraniza Idris.
Penyanyi lagu Dikir Puteri itu bagaimanapun tampil menafikan tuduhan tersebut dengan menegaskan individu berkenaan menarik diri dan meninggalkan kumpulan WhatsApp secara tiba-tiba.
Dalam pada itu, Noraniza mengakui kesal dengan sikap tidak profesional Anwar yang menyebarkan perkara dalaman produksi menerusi media sosial tanpa perbincangan secara baik.
“Dia tidak profesional, tidak sepatutnya isu ini disebarkan dalam media sosial. Seharusnya jumpalah saya secara berdepan.
“Apa-apa pun, saya tidak meletakkan harapan agar dia tampil berbincang masalah ini. Dia yang buat keputusan untuk tarik diri jadi terpulang kepada dia jika hendak selesaikan hal ini. Paling mengecewakan apabila dia memilih untuk selesaikan hal ini dala media sosial. Itu ibarat memfitnah.
“Dia kena hentikan tindakan memburuk-burukkan saya, bukan sahaja dalam media sosial, tapi juga kepada mereka yang dekat dengan saya,” jelasnya yang akan mengadakan konsert Qalam Noraniza Idris pada 27 sehingga 29 September ini di Panggung Bangsawan Melaka.
Sementara itu, Noraniza turut diundang sebagai penyanyi utama acara Keretapi Sarong yang dianjurkan sempena sambutan Hari Malaysia.
Lokasi utama acara yang bertujuan menyatukan rakyat Malaysia dan mengangkat martabat tradisi tempatan itu bagaimanapun masih dirahsiakan sehingga pada hari acara pada 14 September ini. – HIBGLAM