SUTRADARA dan pelakon popular Syamsul Yusof didakwa memfailkan perceraian terhadap isterinya, Ira Kazar di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, hari ini.
Difahamkan, perceraian tersebut berlaku selepas dikatakan tidak ada lagi persefahaman antara mereka.
“Sudah tidak ada persefahaman dalam perkahwinan mereka,” kata satu sumber.
Sebelum ini, khabar angin mengenai keretakan rumah tangga mereka bertiup kencang pada Oktober tahun lalu namun kedua-duanya tidak memberi sebarang kenyataan berhubung dakwaan tersebut.
Selain keretakan rumah tangga, Ira juga dikatakan sedang hamil anak sulung hasil perkongsian hidup dengan Syamsul namun sehingga hari ini tiada sebarang pengesahan daripada mereka.
Terdahulu, Syamsul dan Ira atau nama sebenarnya Faghirah Fatini Kazaruddin bernikah di Selatan Thailand pada 6 Januari tahun lalu.
Perkara itu disahkan Syamsul menerusi sebuah video yang dimuat naik dalam Instagram pada Januari tahun lalu.
Rentetan daripada itu, pelakon Puteri Sarah pada ketika itu sebagai isteri pertama nekad memfailkan perceraian sebelum berpisah secara rasmi pada 14 Jun tahun lalu. – HIBGLAM