SELEPAS dua tahun menduda, penyanyi Hasnol mendedahkan bakal mendirikan rumah tangga buat kali ketiga dengan calon isteri yang diibaratkan sebagai wanita dari kayangan.
Hasnol atau nama lengkapnya Hasnol Hassan Ariff, 54, berkata, perkenalan mereka bermula menerusi laman sosial sekitar 2020 dan serius menyulam cinta dua bulan lalu sebelum nekad melamar akauntan tersebut.
“Saya bakal tamatkan zaman duda Disember ini dan itulah jodoh masa depan. Kami kenal di TikTok tetapi waktu itu tak pernah bertegur sapa. Dalam tiga, empat tahun juga macam itu sebab nampak macam dia dah berpunya.
“Apabila yakin dia solo, saya pun tegur. Boleh katakan kami serius bercinta dah dua bulan. Sudah jodoh dan suka sama suka, kami ambil keputusan berkahwin.
“Orangnya sederhana selain tidak mahu majlis perkahwinan gah walaupun berkemampuan. Apa yang boleh saya katakan dia adalah anugerah dari kayangan,” katanya ketika ditemui pada sidang media Festival Music Vit’s – Konsert Telan Kaset 90-an, hari ini.
Begitupun, penyanyi Laguku Untukmu itu belum boleh memperkenalkan calon isteri kepada umum, sebaliknya mengakui wanita tersebut dara berusia 40-an.
“Cukuplah saya katakan dia bukan peminat tetapi tahu kerjaya sebenar saya kerana daripada pengalaman kalau dengan peminat pengakhiran boleh dijangka.
“Orangnya saya kenalkan dulu sebagai Z, merupakan akauntan di sebuah syarikat swasta serta berasal dari Temerloh, Pahang.
“Paling penting, ketegasan dimiliki turut menjadikan saya lebih berdisiplin. Itu yang buatkan saya sukakannya,” ujar Hasnol.
Menerusi hasil perkahwinan pertama dengan bekas isteri, Akhmarzuraikha Salleh, Hasnol memiliki tiga anak iaitu Aqeef Hayyat, 30, Aqeef Hilman, 27, dan Hanna Aeesya, 21.
Kemudian, penyanyi terbabit mendirikan rumah tangga buat kali kedua dengan Marina Mohin namun bercerai pada Oktober 2022 selepas 12 tahun mendirikan rumah tangga.
Perkahwinan keduanya itu dikurniakan seorang cahaya mata perempuan yang kini berumur 13 tahun. – HIBGLAM