SAYA mahu kurus bukan kerana saya kena ‘body shaming’ tetapi untuk sihat.”
Demikian kata pempengaruh terkenal, Kasih Iris Leona sekali gus menepis dakwaan dia semakin kurus akibat tekanan berdepan ejekan mempersenda bentuk fizikalnya.
Tegas puteri kepada aktor Azhar Sulaiman itu, penurunan berat badannya berlaku atas kesedaran sendiri untuk kelihatan sempurna di hadapan kamera.
Malah, gadis berusia 22 itu berkata, sudah tiba masa untuknya kembali mendapatkan berat ideal dan mengamalkan gaya hidup sihat.
“Saya tidak peduli apa orang cakap mengenai saya. Saya mahu kurus bukan kerana saya kena ‘body shaming’ atau terkesan dengan kata-kata (mulut) orang tetapi saya buat semua ini untuk diri sendiri.
Saya mahu hidup lebih sihat dan ada buat pemeriksaan kesihatan doktor sarankan saya agar menjalani gaya hidup lebih sihat serta menjaga pemakanan.
Selain mengikuti rutin senaman, Leona mengakui dirinya mendapatkan rawatan pembakaran lemak ‘fat burner’ di bawah selian pakar.
“Saya kena mula bersenam selain memastikan memilih makanan berkhasiat untuk kembali kepada imej saya yang dahulu, lebih kurus dan langsing.
Saya ke gim dua kali seminggu dan mendapatkan khidmat ‘personal trainer’ sendiri. Saya juga ke klinik kecantikan bagi menjalani rawatan pembakaran lemak.
“Saya berjaya menurunkan berat badan sebanyak lima kilogram (kg) dan kalau boleh saya mahu turunkan 10kg lagi,” dedahnya.
Paling utama kata Leona, selain semua itu amalan pengambilan makanan seharian sangat penting namun mengakui sangat sukar untuk konsisten.
Sebelum ini, Leona meraih pujian netizen selepas dilihat semakin kurus menerusi sebuah video yang dikongsi dalam aplikasi TikTok.
Dalam perkongsian dibuat, Leona menggayakan gaun labuh sewaktu menghadiri sebuah majlis perkahwinan yang menyerlahkan kelangsingan tubuhnya.
Rata-rata netizen memuji perubahan Leona yang pantas mendapatkan bentuk tubuh menawan sehingga tertanya-tanya apa rahsianya.
Pun begitu, terdapat segelintir pihak lain pula menyangka pempengaruh sensasi itu gigih menurunkan berat badan demi memuaskan hati netizen. – HIBGLAM