Penyanyi Ella mendedahkan lagu Mendung Tak Bererti Hujan yang dibawakan bersama suami, Kapten Azhar Ghazali pada konsert Jilid Rockestra Ella: Rockers Juga Manusia menyimpan cerita pasang surut cinta mereka.
Ella atau nama sebenarnya, Nor Zila Aminuddin, 57, berkata, hubungan yang kerap putus dan disambung semula sepanjang tempoh sembilan tahun sehingga akhirnya diikat dengan perkahwinan memang kena dengan lagu tersebut.
“Sebenarnya lagu Mendung Tak Bererti Hujan yang juga nyanyian asal saya dengan Deddy Dores mempunyai sejarah tersendiri. Saya dan Azhar pilih berduet lagu itu memang ada kaitan dengan percintaan kami dulu.
“Hendak tahu apa yang terjadi? Kami bercinta dan kemudian berpisah tanpa dia meninggalkan kata-kata. Azhar menghilangkan diri dan saya tidak tahu di mana dia berada kerana dia tidak mencari saya.
“Saya rasa tiada harapan untuk kami hidup bersama sampai ‘down’ dan selama sebulan tidak boleh tidur malam. Tapi ketika dia mahu tunaikan umrah kami bertemu semua. Allah maha kaya, jodoh kami kuat,” katanya kepada HibGlam.
Menurut penyanyi Sembilu itu, kesungguhan Azhar menambat semula hatinya selain membuatkan keyakinannya kembali akhirnya mengukuhkan ikatan cinta mereka.
Dedah suaminya pula, perbezaan usia bukan penghalang untuk mereka meneruskan permintaan ke fasa seterusnya.
Saya mula bercinta dengan Ella pada usia 21 tahun hingga saya berumur 30 tahun, sebelum kami putuskan untuk berkahwin.
“Ketika mula menjalin cinta, kami fikir hubungan itu agak mustahil tetapi nyata cinta kami terlalu kuat dan sukar dipisahkan dengan jarak umur.
“Kami terus berkawan untuk lebih kenal antara satu sama lain. Akhirnya, pada tahun kesembilan selepas melalui pelbagai rintangan, kami disatukan,” katanya pada pada sidang media selepas konsert yang berlangsung di Dewan Plenari, KLCC, semalam.
Sekadar info, lagu Mendung Tak Bererti Hujan yang cukup popular pada akhir 1980-an dinyanyikan Ratu Rock Negara itu bersama penyanyi Indonesia, Allahyarham Deddy Dores
Sebelum itu, Ella menyampaikan lebih 30 seleksi hit sepanjang hampir empat dekad dalam industri seni temasuk Pedih, Kesal, Gemilang, Nuri, Dua Insan Bercinta, Layar Impian, Tiada Tangis Lagi, Sembilu, Cinta Selembut Sutra dan Standing in the eyes of the World.
Dianjurkan Hitman Solutions bersama syarikat milik Ella sendiri, RockQueen, penghibur kesayangan ramai itu turut menampilkan segmen lagu asli dan keroncong menerusi lagu Jauh Di Mata, Sayang Disayang dan Keroncong Kemayoran secara duet dengan penyanyi Haziq Rosebi.
Pada masa sama, Ella turut mengumumkan bakal membawa konsert Jilid Rockestra Ella: Rockers Juga Manusia ke Singapura pada 12 Oktober depan. – HIBGLAM